Pelakon popular, Nora Danish tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja apabila terlibat dalam filem Indonesia popular Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD 2).

Menurut Nora, 36, dia berasa bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk berlakon bersama pelakon-pelakon hebat dan di bawah produksi negara jiran itu.

"Saya berasa amat teruja kerana terpilih untuk berlakon dalam filem yang hebat seperti SYTD 2 bersama nama-nama besar Indonesia dan mereka menerima kehadiran saya dengan baik.

"Ini merupakan kali kedua saya berlakon dengan produksi negara luar dan ia sangat berbeza.

"Saya melalui pengalaman berbeza sepanjang 20 hari penggambaran bersama MD Production.

"Selama 10 hari saya menjalani sesi bacaan skrip di Indonesia dan penggambaran di Budapest, Hungary juga berlangsung selama 10 hari," katanya.


Nora berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra tonton filem Surga Yang Tak Dirindukan 2, di GSC Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Nora, filem SYTD 2 turut dibintangi oleh Fedi Nuril, Laudya Cynthia Bella, Raline Shah dan Reza Rahadian.

Filem arahan pengarah terkenal Hanung Bramantyo itu telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 16 Februari lalu.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi