Hiburan
Berlakon Dengan Suami, Diana Danielle Cepat Sentap
Pelakon Diana Danielle akui bergandingan bersama suaminya aktor Farid Kamil untuk telefilem Sedikit Waktu membuatkan dirinya cepat terasa dan kurang yakin terhadap lakonannnya.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata, dia berasa kekok dan segan untuk berlakon bersama Farid dan menyifatkan lelaki itu sebagai seorang yang menakutkan.
“Takutlah berlakon dengan Farid! Bila bergandingan dengan dia, saya rasa saya adalah seorang pelakon yang teruk.
“Tahap keyakinan diri saya terus jatuh, rasa macam serba tak kena, bukan kerana dia garang tapi sebab saya kagum dengan dia.
“Kita semua tahu dia adalah pelakon yang bagus dan saya kagum dengan tahap lakonan dia. Jadi bila pertama kali bergandingan bersama memang buat saya rasa segan.
“Lagi satu bila berlakon dengan suami sendiri, jujur saya cakap memang saya cepat sentap. Kadang-kadang bila ada dialog yang memerlukan dia bercakap dengan nada yang tinggi, tak pasal-pasal buat saya terasa.
“Ada juga bila dia beri komen terhadap lakonan saya, mulalah saya terlebih sensitif rasa macam okay awak ajelah yang tahu semuanya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Tayangan Program-Program Aidilfitri Astro, bertempat di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimanapun Diana menjelaskan, dia berasa seronok melalui pengalaman tersebut kerana dapat melihat sisi lain suaminya ketika fokus bekerja.
“Tapi sebenarnya rasa seronok juga sebab saya jarang tengok dia dalam mood bekerja. Selalunya dia dengan saya sebagai suami isteri dan bukannya rakan sekerja.
“Jadi bila sekali sekala tengok dia hafal skrip dan fokus terhadap kerja, saya rasa seronok pula.
“Sebab itu saya selalu ingatkan diri sendiri jangan ambil hati setiap perkataan yang dituturkan Farid, kerana itu hanyalah berdasarkan skrio semata-mata.
“Bila masuk hari ketiga ‘shooting’ saya dah rasa sedikit okay. Siapa yang bekerja dengan suami sendiri pasti tahu bagaimana perasaan saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 25 tahun ini turut berkongsi perkara lucu sewaktu dia mula-mula menerima tawaran berlakon telefilem tersebut.
“Masa mula-mula terima naskah ni, saya diberitahu akan digandingkan dengan Remy Ishak. Kemudian saya beritahu dia ada kerja pada tarikh tertentu dan dia pun secara kebetulan ada kerja pada hari yang sama.
“Nak dijadikan cerita bila saya tiba di tempat untuk ‘script reading’, saya nampak dia dan saya terus kata eh awak ke?
“Dan dia terus angguk, waktu tu saya memang terkejut sebab tak sangka dia pasangan saya.
"Saya bergurau dan terus bertanyakan kepada pengarah kenapa bukan Remy. Tapi sebenarnya saya difahamkan dia juga tak tahu siapa pasangan pelakon wanitanya," ujarnya tersenyum.
Telefilem Sedikit Waktu bakal ditayangkan istimewa sempena Aidilfitri pada 3 Julai ini pada jam 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).
Must-Watch Video