Gaya Hidup

"Berniaga Bubur Bukan Sebab Tak Berduit Tapi..." - Farah Ahmad Hidupkan Memori Bersama Pitt Hanif

gempak
Badrul Hashim
17/02/2020
05:07 MYT
Sponsor Banner
"Berniaga Bubur Bukan Sebab Tak Berduit Tapi..." - Farah Ahmad Hidupkan Memori Bersama Pitt Hanif
Bukan sesuatu yang asing bagi pelakon Farah Ahmad untuk berniaga kerana sejak dulu lagi dia sudah melakukannya secara online seperti sambal Resepi Opah, berniaga kasut conteng dan beberapa lagi.
Selalunya perniagaan tersebut dilakukan pada bulan Ramadan dan Syawal dan ketika tiada tawaran lakonan.
"Itu dulu, masa Pitt ada, tapi bila Pitt dah tak ada Farah kena fikir lebih jauh demi keluarga. Bila Farah kata nak berniaga, kawan-kawan ingat Farah tak nak berlakon dah.
"Farah tetap akan berlakon bila ada tawaran, dan Farah akan upah orang jaga kedai. Boleh juga Farah bantu kawan-kawan lain yang memerlukan," cerita Farah ketika dihubungi Gempak.
Tambah Farah lagi, suatu ketika dulu dia dan Pitt suka melepak bila tidak ada apa-apa yang nak dibuat, lalu mereka berdua pernah berniaga Chow Kuey Teow dan Mee Kari di Taman Melati.
"Itulah cara kami bertemu kawan-kawan kerana selain daripada melepak, dapat jumpa dengan kawan-kawan dan ukhwah lagi besar.
"Beberapa minggu lalu ada teman mengajak Farah berniaga di Enjoys Corner kerana ada satu tapak yang kosong. Masa tu terfikir sejak kebelakangan ni suka makan bubur, jadi Farah rasa itu makanan yang paling mudah untuk disediakan," tambah Farah lagi.
Berbincang tak sampai dua minggu, akhirnya Farah mengambil keputusan untuk berniaga di situ.
"Farah suka sangat masak. Ini menjadi punca rezeki lain yang Tuhan nak bagi. Kalau dulu Farah memang suka masak untuk Pitt dan dia juga yang paling suka dengan makanan yang Farah masak.
"Apa yang Farah buat semua ini juga adalah memori Farah dengan Pitt dan sekarang Farah bawakan anak-anak dalam memori kami ni.
"Semangat itu juga yang Farah bawa dalam perniagaan ini. Alhamdulillah, baru masuk hari kedua memang tak lepas tangan. Memang kena masak banyak kali," ucap Farah dengan nada syukur.
Menurut Farah, memasak dan berniaga adalah perkara yang sangat digemarinya. Cuma dia tidak suka berhutang dan lebih rela memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan daripada membuat pinjaman untuk membuka kedai lebih besar.
Untuk perniagaannya itu, Farah menyediakan dua jenis bubur, iaitu bubur ayam atau bubur daging pada harga RM5 semangkuk sebagai asas termasuk sambal totok.
"Lepas tu ada tambahan lauk RM1 setiap cedok seperti tempe goreng, tauhu goreng, ikan bilis, telur masin, peria goreng, daging dendeng, kentang goreng, udang goreng, dan bermacam-macam lagi.
"Siapa yang tolong promosikan Jom Bubur di Enjoys Corner di Instagram, bermula esok (selasa) hingga Jumaat, tunjukkan pada Farah, dan sepuluh orang pertama akan dapat bubur percuma bersama dua cedok lauk pilihan mereka. Tapi jangan lupa tagkan di Instagram @jombubur dan @enjoyscorner," pesan Farah mengakhiri bicara.
Gerai Jom Bubur merupakan Gerai Nombor 16, terletak di Enjoys Corner, Taman Desa Melawati. Dibuka setiap hari kecuali hari Isnin, daripada pukul 6 petang hingga 1 pagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live