Sejak tragedi banjir kilat melanda negara sekitar hujung minggu lalu, ramai sukarelawan dilihat membanting tulang dalam memberikan bantuan sama ada dari segi tenaga, hebahan di media sosial dan juga wang ringgit.

Selain itu, barisan artis turut tidak ketinggalan dalam membantu meringankan beban selain jenama-jenama besar juga sama-sama menyalurkan bantuan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkaitan.

Hal ini bukan sahaja memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia bersatu pada dalam menangani krisis banjir, malam membuktikan penduduk tanah bertuah ini tidak berkira soal kudrat dan juga harta.

Begitupun, tidak semua hal boleh diklasifikasikan sebagai bantuan dan tidak semua servis boleh disukarelawankan.

Terbaharu, pelakon dan pengacara, Harith Iskander menerima kecaman netizen apabila Badan Bukan Kerajaan (NGO) miliknya iaitu The Hope Branch mencari sukarelawan jurugambar dan juruvideo bagi merakam tragedi banjir.



“Urgent! Mencari sukarelawan jurugambar dan juruvideo dalam kadar segera. NGO The Hope Branch (yang ditubuhkan oleh Harith Iskander dan isterinya Dr. Jezamine) sedang mencari jurugambar dan juruvideo untuk mendokumenkan tragedi banjir.

“Mana-mana jurugrambar dan juruvideo yang berminat, boleh menghubungi nombor ini hari ini,” tulis sebuah notis yang sedang beredar di laman sosial.

Tentu sekali notis berkenaan pencarian berkenaan menerima maklum balas negatif dalam kalangan netizen. Rata-rata menyelar tindakan NGO tersebut yang dilihat seperti menangguk di air yang keruh.

“Bidang ni pun kena volunteer ya… equipments all bayar pakai daun is it,” tulis seorang netizen.

“Ingatkan mintak volunteer manpower, rupanya photographer videographer. Lawak yang sangat teruk. Maaf,” ulas seorang lagi netizen.

Selain itu, ada yang juga yang berkata NGO milik Harith tidak sensitif dan sepatutnya jurugambar perlu diberi bayaran.

“Mungkin kita tidak sepatutnya memburukkan misi (bantuan mangsa banjir) yang mereka kelolakan, tetapi saya tidak tahu kerana saya tiada di sana.

“Tetapi, kenapa hal ini (mencari jurugambar) adalah satu kepentingan sekarang? Ternyata tidak tuli nada (tone deaf) dan tidak sensitif. Bayar jurugambar anda,” tulis seorang pengguna Twitter.