Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra - MPO) akan mempersembahkan sisi muzik yang berbeza apabila ia mempersembahkan konsert bertemakan Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal pada Sabtu, 2 Mac 2024 jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

BERITA TRENDING: "Sopan Santun Anak Melayu..." - Popular Sebab Beto Kusyairy Catwalk, Ini Lirik Lagu Lemak…

Konsert yang bakal dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose ini akan menyaksikan rangkuman tradisi dan muzik yang harmoni dalam satu keraian budaya yang gemilang. Kali terakhir MPO mempersembahkan konsert bertemakan tradisional ialah pada tahun 2012 melalui konsert Keroncong Merdeka.

Konsert kali ini akan menampilkan semula biduanita legenda Dato Yusni Hamid di pentas DFP dan beliau akan berkolaborasi dengan penyanyi angkatan generasi baru Haziq Rosebi dan Asmidar. Kombinasi dinamik ini bakal menjadi sebuah sinergi untuk kelangsungan legasi irama keroncong dan ghazal agar terus hidup dan tidak hilang ditelan zaman.

Dilahirkan pada tahun 1951 di Kuala Lumpur, Dato Yusni Hamid mempunyai pengalaman yang amat luas dalam industri muzik tanahair. Beliau telah melahirkan 11 buah album dan dianugerahkan pelbagai pingat bagi menghargai sumbangan beliau untuk dunia seni. Beliau merupakan penghibur yang kerap diundang ke majlis rasmi Kerajaan dan istana negeri, dan juga Istana Budaya dan The Esplanade, Singapura.

Bakat penyanyi Haziq Rosebi terserlah sejak beliau menyertai Akademi Fantasia musim keempat pada tahun 2006. Anak jati Johor ini cukup sinonim dengan irama tradisional dan merupakan antara artis lelaki muda yang gigih memperjuangkan legasi lagu klasik menjejaki idola beliau Dato Ahmad Jais dan Tan Sri SM Salim.

Asmidar merupakan naib juara Bintang RTM (2001), juara Bintang Asli (2006) dan Vokal Bukan Sekadar Rupa (2011). Beliau pernah mewakili Malaysia di pertandingan World Championship of Performing Arts di Los Angeles dan terlibat dalam D’ Academy Asia di Indonesia (2016). Seperti Haziq, beliau juga memperjuangkan irama tradisional dan lagu klasik dalam misi memperkenalkan budaya kita ke mata dunia.

Layari perjalanan indah apabila irama keroncong dan ghazal bergabung dengan keunggulan muzik MPO melalui karya malar segar seperti Sayang Di Sayang, Bisikan Hati, Dari Hati Ke Hati, Jauh Di Mata, Penawar Rindu, Seri Mersing, Empat Dara, Juwitaku Sayang dan Selasihku Sayang.

Kesemua lagu-lagu ini bakal digubah untuk persembahan orkestra oleh Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman dan Ahmad Muriz Che Rose sendiri.