Cef selebriti Datuk Fazleey Yaakob berang apabila wujud sesetengah pihak yang sanggup menggunakan teknik pemasaran ‘murahan’ dengan melakukan konten melampau di media sosial demi meraih perhatian masyarakat di luar sana.

Kata Fazley, 44, tindakan seperti menjatuhkan maruah orang lain, meraih simpati palsu atau sengaja membuat orang marah merupakan satu bentuk penipuan kepada umum.

“Its just a big No! Semua benda jadi ikutan sekarang, kalau betul nak orang ingat demi marketing, banyak lagi cara lain.

“Betul lah, apa juga publicity adalah teknik pemasaran marketing yang bagus, tapi kalau benda yang menjatuhkan maruah, meraih simpati palsu atau sengaja buat orang marah, itu dah macam main-mainkan perasaan followers (pengikut).

“Sama macam menipu orang dan merompak "trust" followers, tak begitu?” luah Fazley menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob)

Terdahulu, kecoh di laman sosial mengenai beberapa isu yang dilihat sengaja meraih perhatian wargamaya dengan konten yang melampau dan dilihat kurang bersesuaian dipertontonankan kepada umum.

Antara isu tersebut adalah video prank melampau seorang TikTokers ‘tonyoh’ kek di atas muka seorang wanita, isu penyanyi kononya putus cinta dan kemudian keluar dengan lagu baharu serta isu seorang pelakon yang mengkritik makanan seorang peserta program masakan.

Dalam pada itu, Fazley turut menyifatkan perkara yang berlaku sebagai tindakan kurang bijak yang dilakukan oleh sekelompok masyarakat yang mencipta konten berkenaan.

“Maaflah bunyi agak kasar, tapi benda-benda ini adalah perkara b*doh, b*doh piang dan otak letak dekat papan pemotong kemudian hiris.

“Buat prank memalukan untuk sosial experiment. Gimik putus cinta sebab lagu baru. Malukan dan jatuhkan maruah sebab nakkan drama,” tambahnya.

Sementara itu, bekas bintang Gegar Vaganza 8 itu sempat mengajukan soalan kepada pengikutnya dengan bertanyakan sama ada mereka tertarik atau tidak dengan konten sedemikian.

“Serious question, adakah ini yang korang nak sebagai followers/peminat? Atau korang pun dah bosan di perbodohkan selalu?,” soal Fazley.