Laman Utama
Big Stage 2020 Patuhi SOP! Ini Perubahan Yang Akan Dilakukan...
Memandangkan penularan wabak COVID-19 masih melanda di negara kita, penganjuran Big Stage 2020 akan mengalami sedikit perubahan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD, Emarina Mohd Kamal, pihak produksi akan mengawal dan menetapkan SOP yang ketat sepanjang penganjuran program berkenaan.
"Pihak produksi telah mengumpul dan menetapkan semua SOP yang akan dipraktikkan sepanjang penganjuran Big Stage 2020.
"Jadi kami berharap agar semua pihak dapat mematuhi SOP yang ditetapkan demi sama-sama menghentikan penularan wabak COVID-19 di negara kita." katanya.
Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD, Emarina Mohd Kamal
Emarina berkata demikian ketika ditemui di sidang media Big Stage 2020 di Petaling Jaya petang semalam.
Tambah Emarina, jumlah penonton yang memasuki ruangan dewan juga akan dihadkan dalam musim terbaru ini.
"Sebelum ini, penonton yang hadir ke ruangan dewan adalah sebanyak kira-kira 1000 orang, tetapi kali ini, kami hadkan kepada 200 orang sahaja untuk memastikan adanya penjarakan sosial.
"Selain itu, satu skrin besar yang memuatkan 100 orang penonton secara virtual juga akan diletakkan ketika konsert berlangsung.
"Pihak produksi akan menghantar jemputan untuk menonton secara virtual kepada anggota keluarga para peserta," katanya lagi.
Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.
Big Stage 2020 akan memulakan konsert pertamanya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Must-Watch Video