Bintang Big Stage 5, Firdaus Rahmat akui tidak berpuas hati dengan persembahannya di konsert ketiga.

Menurut Firdaus, dia sebenarnya hilang fokus semasa menyampaikan lagu Diari Seorang lelaki kerana tidak tahan mahu ke tandas.

“Sejujurnya saya sendiri tidak puas hati dengan persembahan sendiri sebab saya rasa boleh buat lagi baik.

“Sebenarnya saya nak buang air tadi sebelum naik ke pentas tetapi mereka tidak bagi kerana tak sempat. Jadi sepanjang persembahan terpaksa tahan itu yang membuatkan saya hilang fokus.

“Situasi yang berlaku itu juga tidak boleh dirancang, tapi apa-apa pun saya tetap cuba berikan yang terbaik,” jelasnya ketika ditemui Gempak.

Mengulas mengenai pujian kedua juri jemputan iaitu Andmesh di minggu kedua dan Ernie untuk minggu ketiga terhadap persembahannya, ini jawapan Firdaus.

“Saya pun tak sangaka sebenarnya tetapi saya ingin berterima kasih kepada mereka sebab komen-komen yang diberikan saya ambil sebagai pembakar semangat.

“Kadang-kadang apa yang mereka cakap itu saya sendiri tidak terfikir, bila buat persembahan saya hanya mahu berikan yang terbaik.

“Saya juga bukan siapa-siapa, saya mahu jadi diri saya sendiri apabila buat persembahan di pentas,” jelasnya.


Terdahulu, Firdaus menduduki tangga kesembilan dengan markah keseluruhan daripada juri sebanyak 64 peratus.

Bintang Big Stage diadili oleh Aina Abdul dan Ajai selaku juri tetap, minggu ini mereka juga ditemani juri jemputan iaitu Ernie Zakri dan Mierul Aiman sebagai Presiden Netizen.

Untuk minggu ketiga, Naufal menjadi bintang kedua tersingkir selepas Isaac Voo.

Naufal telah menyampaikan lagu Only yang dipopularkan oleh penyanyi Korea, Lee Hi.

Manakala bintang yang masih bersaing dalam Big Stage 5 adalah Firdaus Rahmat, Meer Nash, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.

Bintang luar negara pula ialah Farhan Shah (Singapura), HoonDoo (Korea) dan Waode (Indonesia).

Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage 5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.

Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022).