Big Stage 2023
#BIGSTAGE5: "Tayang Ketiak Bukan Gimik, Ia Metafora Persembahan" - Naufal Azrin
Bintang Big Stage 5, Naufal Azrin menegaskan tindakannya mengoyakkan lengan baju dan menayangkan sebahagian anggota badan dari ketiak hingga ke siku pada persembahan minggu kedua hanyalah metafora persembahan.
Naufal yang menyanyikan lagu Generasiku (OAG) menyifatkan ia hanyalah sebahagian daripada konsep persembahannya dan tidak sengaja mencipta gimik selepas kecoh isu tayang dada di konsert pertama minggu lalu.
"Ini hanyalah konsep persembahan, itu menunjukkan metafora untuk generasi saya. Itu yang saya cuba nak sampaikan.
"Ini bukan gimik, memang dah plan jadikan konsep persembahan macam itu," jelasnya kepada Gempak.
Maklum Naufal yang hampir tersingkir pada minggu kedua itu lagi, dia masih menjaga batas dan tidak akan keterlaluan mencari markah kreativiti hingga memperjudikan maruahnya di pentas nyanyian.
"Saya di luar tak ada pun begitu (tayang badan). Hanya untuk memenuhi konsep dan kreativiti pertandingan.
"Had saya (tunjuk anggota badan) adalah selagi saya menutup aurat, saya tahu batas aurat di mana. Saya masih tak buka (aurat) dan tak rasa nak buka aurat. Saya masih lagi diri saya.
"Tentang isu buka dada minggu lepas, saya tak baca komen sangat, saya terima saja. Tak ada apa-apa perlu diulas, saya hanya buat persembahan saya sahaja.
"Mungkin yang bercakap tu tak kenal saya lagi? Apa kata lepak dulu dengan saya. Saya penyanyi, kena cuba pelbagai genre dan saya seorang yang gemar untuk meneroka," tambahnya.
Ditanya tentang kedudukan tiga terbawah hingga hampir tersingkir pada minggu kedua, kata Naufal situasi itu sedikit sebanyak menyedarkannya agar tidak terlalu selesa.
"Saya rasa sebenarnya perlu juga jadi macam ni, kalau tak rasa kita tak ada rasa nak memperbaiki diri. Saya bersyukur pada masa sama saya perlu berhati-hati lagi dalam membuat persembahan.
"Untuk minggu hadapan kena buat lebih baik. Mungkin saya nervous sedikit dan pada masa sama saya pun tak tahu apa yang jadi ketika membuat persembahan.
"Hal koyak lengan baju itu tak mengganggu pun, masa rehersal tak ada masalah," tambahnya.
Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage 5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104).
Big Stage 5 juga turut menampilkan Aina Abdul dan Ajai sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan serta Presiden Netizen setiap minggu.
Bintang yang masih bersaing dalam Big Stage 5 adalah Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.
Manakala bintang luar negara pula adalah Farhan Shah (Singapura), HoonDoo (Korea) dan Waode (Indonesia).
Manakala bintang pertama yang tersingkir adalah Isaac Voo.
Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022).
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.
Must-Watch Video