Minggu kedua Big Stage musim kelima menyaksikan perjuangan idol yang berpengkalan di Korea Selatan, Isaac Voo terhenti di tengah jalan.

Isaac, 28, tersingkir selepas Imuniti-X digunakan oleh juri profesional Ajai untuk menyelamatkan Naufal Azrin yang sepatutnya menjadi bintang pertama meninggalkan pertandingan itu.

Menerusi platform Twitter, Isaac meluahkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat serta pengikut yang sentiasa menyokongnya selama ini.



“Terima kasih banyak untuk pengalaman dan untuk semua peminat yang sentiasa berada di sisi, saya tahu bukan mudah untuk kamu juga. Tetapi saya berjanji untuk kembali dengan versi diri saya yang lebih baik.

“You guys the best!” tulis Isaac.

Menerusi ruangan balas, ramai yang memberikan respons positif terhadap ciapan yang dikongsikan oleh Isaac.

“Selagi kamu tak putus asa, saya akan sentiasa berada di sisi kamu Jek.”



“Don’t give up. Teringat Ayda Jebat masa AF dulu kena buang macam ni but look at her now, she is somebody in the industry now.”

Pada minggu kedua, Isaac yang merupakan anggota kumpulan IN2IT (kini dikenali sebagai SKYE) menyanyikan lagu Terhangat Di Pasaran dendangan asal kumpulan KRU.

Bertemakan Flex Your Beat, 13 peserta Big Stage 5 diadili oleh juri tetap Ajai dan Aina Abdul serta juri jemputan, Andmesh Kamaleng.

Pertandingan ‘Big Stage’ telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).

‘Big Stage 5’ akan berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 7 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.