Kadangkala bila kita bercakap, kita tak berniat nak riak. Tapi orang yang mendengar dan melihat seolah-olah kita cuba bayangkan kepada orang bahawa kita ini sangat bagus dan sempurna sampai semua orang nak kejar kita.

Itulah yang terjadi dengan kisah seorang lelaki yang memenangi rancangan realiti bersifat keagamaan yang sekarang mendapat perhatian ramai. Kenyataan yang dibuat tentang ada 18 orang wanita yang mahu menjadi isterinya tetapi dia menolak, sehinggalah yang ke 19, menimbulkan rasa 'ngilu' pada ulu hati saya.



Lebih memedihkan, dia berkahwin dengan wanita tersebut, ketika isteri pertamanya sedang mengandung, dan sekarang diceraikan pula. Dan ini bukan kali pertama yang melibatkan peserta daripada rancangan realiti bercorak keagamaan.

Maaf, satu perkara yang saya tidak faham, kenapa mereka ini masih menggunakan nama program rancangan realiti di hadapan nama mereka seolah-olah nama tersebut tercatat dalam surat beranak. Pencetus Ummah (PU), Da'i bukanlah nama yang diberi oleh ibu bapa anda, ya! Tak juga perlu letak kerana bukan pangkat pun.



Satu lagi penggunaan kata ganti nama untuk diri sendiri seperti Ustaz. Ya, kita sebagai pelajar (masa di sekolah) akan memanggil Ustaz sebagai Ustaz, dan Cikgu sebagai Cikgu, tapi bila sudah keluar, tidak pula mereka membahasakan diri mereka sebagai kata ganti nama seperti Ustaz dan Cikgu. Simple sahaja, gunakan saya! Mufti yang dilantik pun tak pernah membahasakan dirinya "Mufti rasa perkara itu tidak betul..." apabila bercakap.

Kenapa benda kecil ini nampak besar? Sebab ianya nampak riak! Apatah lagi bila kita menyentuh soal yang berkaitan dengan agama. Sesuatu yang sepatutnya kita elakkan. Kita panggil seseorang itu dengan panggilan doktor, cikgu, ustaz sebagai tanda hormat, tapi tidak perlulah orang yang dipanggil itu juga membahasakan dirinya sebagai doktor, cikgu, ustaz, peguam atau sebagainya.



Saya rasa sudah tiba masanya lelaki yang menang rancangan realiti keagamaan ini berhenti daripada bertemu wartawan dan keluar tv bercakap mengenai kisah tolak 18 wanita dan kahwin 'doktor' anak 8 dan tumpukan kepada keluarganya, termasuklah bekas isteri pertama serta anak-anaknya dengan isteri pertama.

Sekarang ini di mana-mana media sosial, pasti kita akan terbaca ayat "saya jujurlah cakap, dah 18 (isi apa yang disuka), senang-senang saya tolak. Tapi yang ke 19 ni saya takdak kekuatan nak tolak. MasyaAllah aura dia." Daripada selebriti, orang biasa hinggalah kepada iklan, menggunakan ayat yang sama. Dan selagi orang tidak jemu, ayat ini akan menjadi ayat joke of the year!



Saya juga rasa sudah masanya peserta-peserta yang menyertai rancangan realiti, tak kiralah hiburan, keagamaan atau lain-lainnya menggunakan nama rancangan tersebut untuk memperkenalkan diri. Mungkin untuk dua tiga bulan pertama tu okaylah sebagai tanda pengenalan. Tapi selepas itu, buanglah.

Saya tak dapat bayangkan kalau Datuk Seri Siti Nurhaliza perlu menggunakan nama Siti Nurhaliza Bintang HMI untuk memperkenalkan dirinya sekadar untuk memberitahu daripada dia bermula.



Yang sudah tu sudahlah. Ianya hanya rancangan sebagai batu loncatan. Jangan jadi Si Luncai sangat boleh tak?

Salam Jumaat dan jumpa lagi.

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Twitter / Twitter @farhanmzln

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.