Hiburan

Bila Badrul Bicara: Antara 'Memberi' Pengajaran Dan 'Mendapat' Pengajaran

gempak
Badrul Hashim
03/05/2019
03:28 MYT
Sponsor Banner
Bila Badrul Bicara: Antara 'Memberi' Pengajaran Dan 'Mendapat' Pengajaran
Seminggu cerita yang agak panjang. Antara kisah Dato' Sri Aliff Syukri dan cerita Michael Ang. Watak yang agak penting dalam industri seni tanah air, tapi dalam cebisan kisah yang berbeza.
Aliff Syukri ternyata menjadi 'panas' kembali apabila isu mendidik anaknya dipertikaikan oleh ramai. Bukan setakat di Instagram miliknya yang dimuat naik kisah merotan anaknya, tetapi juga tersebar ke Facebook, Twitter dan beberapa media sosial lainnya.
Memang ada betulnya apa yang dikatakan oleh Aliff Syukri. Setiap orang dididik dengan cara yang berbeza. Malah ramai juga yang melalui situasi yang sama.
Dididik dengan rotan dan hukuman lain mungkin adalah sebahagian daripada cara orang-orang tua kita mendidik. Saya pernah diserahkan untuk belajar mengaji dengan upah sebilah rotan dan sedikit wang kepada ustaz yang mengajar saya.
jaga anak awak dulu x payah sebuk hal anak saya.. . . saya ni mmg lah mulut laser kuat membebel tapi saya ni x bodoh tau sy syg anak sy sendiri...sy buat mesti ada sebab...jaga anak perempuan zaman skrg kena lebih takut tngok keadaan semasa......dalam mendidik anak saya ada cara saya..kadang2 pelik la org yg sibuk cara kita didik anak...saya ni dah la jahil...jahat.....bukan orang baik,sekolah pun bodoh...takkan saya nak anak saya ikut perangai buruk saya....saya nak anak yg terbaik.. . klau lah korang nak tau mak saya jauh lebih garang... Dulu mak saya ni pukul sgn getah paip, pijak,lepang, semua ckup pakej... sbb tu sy jadi sampai hari ni menghargai erti kehidupan... orang2 dulu ni mmg didik anak ada cara mereka,saya pilih didik anak cara lama,yg nak ikut zaman terpulang la.....sebab esok2 kalau anak saya tak elok saya juga yg dipersalahkan bukan korang..? sila komen dibawah pandangan korang jaga anak pulak...
A post shared by Ohabangkosmetik (@aliffsyukriterlajaklaris) on
Ada juga yang tidak pernah melalui pengalaman hidup dididik sebegini. Tiada hukuman fizikal, sekadar mungkin didenda tidak ada wang belanja atau mungkin tidak boleh keluar bermain dengan kawan-kawan.
Tapi saya rasa apa yang Dato' Aliff Syukri mungkin sedikit 'salah faham' adalah bukan semua yang marah cara dia mendidik anaknya itu adalah kerana dia merotan, tetapi lebih kepada kenapa perlu dikongsi di sosial media?
Saya selalu terbayangkan bila anak itu besar nanti, video yang sudah tersebar itu akan menghantui hidupnya. Ejekan kawan-kawan di sekolah, trauma dengan apa yang berlaku. Kita hanya memerhati, kita tidak tahu apa yang berlaku pada diri yang menerima.
Pada saya mendidik anak adalah hak peribadi. Tidak perlu dikongsi dengan orang lain. Kalau benar ingin menjadi 'khalifah' keluarga, didiklah secara diam-diam. Perkongsian tersebut mungkin dianggap sesetengah orang adalah hanya untuk menunjukkan dia bapa yang bertanggungjawab.
Tetapi untuk 'membuktikan' hal tersebut tidak bermakna kita harus berkongsi semua benda. Kongsilah perkara-perkara yang memberikan kegembiraan kepada anak-anak dan keluarga. Bukan kisah trauma yang mungkin bakal menghantui kehidupannya di masa hadapan.
Pada saya kisah Aliff Syukri 'memberi' pengajaran bahawa ada perkara yang tidak perlu dikongsi tetapi saya juga memahami tentang cara dia mendidik kerana dosa anak yang belum berkahwin akan ditanggung oleh si ayah.
Kembali kepada kisah yang 'mendapat' pengajaran. Alhamdulillah. Saudara baru Michael Ang, pengarah terkenal yang telah memeluk Islam hampir atau sudah lebih setahun yang lalu.
Tetapi pengajaran kepada siapa yang saya maksudkan? Pengajaran kepada kita semua. Pengajaran bahawa setiap manusia boleh berubah dan jangan kita memandang remeh dengan kuasa Allah SWT dengan kata-kata yang kita tulis dan hamburkan setiap hari.
Bayangkan betapa banyaknya kata-kata hamburan seperti 'kafir tapi nak berlagak Islam' dan bermacam-macam lagi yang dikeluarkan kepada Michael Ang ketika dia sudahpun bergelar saudara baru. Hikmah Tuhan tak ada siapa yang tahu, tapi kita terlebih dulu membuat membuat 'hukuman' kita sendiri.
Bezanya dia dan saudara-saudara baru yang lain dengan kita yang dilahirkan dalam keluarga yang beragama Islam? Beza yang sangat besar, kerana dia adalah seumpama sehelai kain putih bersih dan kita sudah mencorakkan warna pada kehidupan kita sejak dilahirkan.
Alhamdulillah, selamat datang saudara baruku Michael Ang. Semoga kita semua terus akan mendapat hidayah. Tidak kira umur kita 9 tahun mahupun 39 tahun atau 49 tahun atau apa jua, selagi bernafas selagi itu kita diberi peluang untuk belajar.
Salam Jumaat penghulu hari.
Jumpa Lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live