Hiburan

Bila Badrul Bicara: Eh! Tolonglah! Jangan Samakan Tugas Pengurus Artis Dan Pembantu Peribadi

gempak
Badrul Hashim
15/11/2019
05:40 MYT
Sponsor Banner
Bila Badrul Bicara: Eh! Tolonglah! Jangan Samakan Tugas Pengurus Artis Dan Pembantu Peribadi
Ramai yang selalu nampak tugas sebagai pengurus artis ini adalah satu tugas yang glamour. Maklumlah, selalu bersama artis-artis di bawah jagaan mereka. Berjalan seiring ke majlis-majlis anugerah dan sebagainya. Itulah yang pertama tiba di fikiran mereka.
Betul! Memang nampak glamour secara luarannya. Tetapi, di sebalik itu apa yang orang tidak nampak adalah tugas-tugas berat yang perlu dijalankan sebagai seorang pengurus artis. Sebenarnya nak glamour di zaman sekarang ini tak perlu pun jadi artis atau pengurus artis. Jadi terkenal di sosial media pun boleh jadi glamour.
Tugas pengurus artis tidak pernah habis. Bukan setakat memastikan artis-artis di bawah jagaan mereka ada 'jobs' tetapi juga memastikan setiap aspek apabila mereka keluar membawa tugas artis itu dijaga. Mahu fikirkan pakaian (terutamanya artis wanita), solekan, dandanan rambut dan sebagainya. Itu baru dari fizikalnya.
Untuk yang menjaga pelakon, mereka perlu memastikan soal skrip, tarikh penggambaran agar tidak bertembung dengan lainnya, publisiti yang diperlukan oleh drama atau filem dan yang sewaktu dengannya.
Begitu juga yang penguruskan penyanyi. Perlu sediakan kontrak, keperluan artis ketika membuat persembahan di luar kawasan seperti sound system, dan kalau artis yang sudah punya nama, perlu juga ada sound engineer sendiri untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Susunan lagu, dan jika perlu ada latihan dengan band atau orkestra, juga perlu dilaksanakan.
Pendek kata, tugas sebagai seorang pengurus artis tidak habis di situ sahaja. Mereka juga memastikan 'branding' setiap artis di bawah jagaan mereka dijaga dengan baik. Artis pun ada perangai masing-masing juga. Jadi penguruslah yang akan memberikan pendapat dan juga nasihat kepada mereka baik dan buruk untuk sesuatu perkara. Ya, kadang-kadang kena jadi penasihat peribadi.
Bila sudah menjadi pengurus, kadangkala (selalunya) hal-hal peribadi juga akan dijaga oleh pengurus. Ada masalah, penguruslah yang uruskan dengan pihak media dan pihak yang berkaitan. Bayaran lambat, penguruslah yang menatang muka meminta bayaran daripada producer atau event company.
Betullah seperti kata seorang pengurus yang juga merupakan sepupu saya, Aina Liza, menjaga artis-artis ini seperti menjaga anak sendiri. Semua perlu diambil tahu dan semua perlu dijaga demi memastikan kelansungan seseorang artis itu di dalam industri. Bangga dengan kejayaannya menjaga Sherry Alhadad dan ramai lagi 'anak-anak' di bawah jagaannya yang berjaya di dalam industri.
Namun ramai juga yang salah anggap dengan tugas pengurus artis dengan pembantu peribadi (personal assistant) walaupun ada ketikanya pengurus turut melakukan tugas-tugas yang sama. Untuk menjadi pengurus artis anda perlukan pengetahuan yang sangat luas, dan bukan sekadar menjadi pembantu peribadi.
Misha Omar mungkin sangat beruntung kerana kakaknya sendiri, Mimie Omar yang menjadi pengurus untuk dirinya. Tetapi Mimie Omar bukan calang-calang orang di dalam industri. Dia tahu semua perkara sehinggakan tentang lagu, lirik, sistem bunyi dan sebagainya. Itulah tugas pengurus artis yang bukan tugasnya membawa artis ke sana sini sahaja tetapi tahu segala benda tentang bidang yang dilakukannya. Saya juga banyak belajar daripada Mimie ketika mula-mula masuk ke dalam industri.
Afeeq yang juga mempunyai syarikatnya sendiri, Laugh Out Loud Entertainment juga mempunyai barisan artis yang cukup gah termasuklah Jihan Muse dan ramai lagi. Dia juga bermula dari bawah dan belajar sehinggalah berjaya mencipta rangkaian pengurusan artisnya sendiri. Tanyalah dia, bukan satu perkara yang mudah untuk berdiri seperti sekarang ini. Hanya yang benar-benar kental sahaja yang mampu.
Kenapa hari ini saya membincangkan tentang kerja pengurus artis. Kerana ramai yang fikir pengurus artis ini sekadar pembantu peribadi yang sangat berbeza tugasnya. Ada segelintir artis yang enggan menggunakan pengurus artis dan mereka hanya mengambil pembantu peribadi. Tidak ada salahnya. Tetapi tugasnya pastilah berbeza.
Menemani di lokasi, menjaga pakaian (wardrobe), memastikan ada air dan makanan serta keperluan asas artis, memandu artis ke lokasi - itu adalah sebahagian daripada tugas pembantu peribadi. Tiada niat memperkecilkan tugas, tetapi setiap orang perlu tahu membezakannya.
Saya tidak turun ke lokasi penggambaran kecuali jika diperlukan oleh artis untuk menyelesaikan masalah-masalah berbangkit seperti pembayaran. Setiap daripada kita ada tugas masing-masing yang perlu diselesaikan demi amanah yang telah diberikan. Wang ringgit yang masuk dalam poket itu untuk kita makan pakai anak isteri/suami.
Setiap orang boleh berjaya, dan tiada masalahnya juga jika pembantu peribadi yang tahu dan belajar akan menjadi pengurus artis. Tugasnya bukanlah ringan. Kita akan bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang baik, ada yang dengki, ada yang membantu dan ada yang menghina. Tetapi sebagai pengurus artis, kita harus biasa menerima semua keadaan tersebut.
Salam Jumaat dan jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara.
Kredit Gambar: Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live