Hiburan
Bila Badrul Bicara: Kes Waktu Menunggu, Ada Cerita Dua Belah Pihak, Tapi Berubahlah. Penat!
Baru-baru ini, Fasha Sandha 'naik hantu' bila call-time untuknya diubah di saat-saat akhir. Maklumlah, suruh bersiap di tempat penggambaran pukul 6:00 pagi, tapi bila sampai waktunya ditunda pulak.
Bayangkan pukul 6:00 pagi sudah kena ada di tempat penggambaran. Perkara ini sebenarnya bukanlah satu masalah kerana ianya tanggungjawab sebagai seorang pelakon, tetapi kenapa dibatalkan pada saat-saat akhir? Bukankah ianya merugikan masa semua?
Kenapa saya bercerita tentang perkara ini? Kerana pada suatu ketika dulu saya pernah bertugas menjaga artis. Pada awalnya saya sentiasa mengikuti jadual yang diberikan, tak kiralah call-time pukul 7:00 pagi atau lewat malam.
Namun sepanjang masa, tidak pernah call-time tersebut mengikut jadual kecuali untuk beberapa buah filem dan segelintir syarikat produksi. Call-time pukul 8:00 pagi, pukul 7:45 pagi sudah sampai, tetapi tidak ada sesiapa pun di set penggambaran.
Pernah juga saya 'memarahi' pengurus produksi tetapi alasannya itulah masa yang diberikan oleh pembantu pengarah. Bila ditanya pada pembantu pengarah, telunjuknya pula terarah kepada pengarah. Berpusing-pusing dan saling menyalahi.
Jangan tidak percaya, ada segelintir pengarah yang hanya muncul jam 11:00 pagi walaupun katanya penggambaran bermula jam 9:00 pagi. Keadaan ini memang tidak terkawal dan kebanyakan pelakon terpaksa berdiam diri sahaja kerana ini punca mereka mencari rezeki.
Melawan? Susahlah untuk dapat job selepas ini kerana dicop sebagai suka membawa masalah. Tidak ramai pula orang penting daripada syarikat produksi yang ambil tahu kerana mereka lebih percaya dengan kata-kata segelintir pengurus produksi.
Tapi itu kisah sebelah pihak.
Saya juga melalui pengalaman yang berbeza dengan para pelakon. Ya, call-time pukul 8:00 pagi, pukul 3:00 petang baru muncul. Inilah masalahnya! Ada segelintir pelakon pula ambil dua tiga job dalam satu masa.
Maka berkejarlah mereka daripada satu set ke satu set yang lain. Yang jadi mangsa adalah pihak produksi dan pihak pelakon lain yang terpaksa menunggu. Tidak semua pihak produksi mempunyai peralatannya sendiri. Ada yang terpaksa menyewa daripada pihak lain, maka setiap masa itu adalah wang yang terpaksa mereka bayar.
Pelakon yang mementingkan diri sendiri inilah yang sering menjadi punca pihak pengurus produksi memberikan call-time awal daripada yang sepatutnya kerana mereka tahu 'perangai' artis tersebut. Tapi apabila perkara ini berlaku, semua pelakon juga terpalit.
Masih ramai lagi pelakon yang berdisiplin di luar sana. Ramai. Mereka tahu ini adalah punca rezeki mereka dan mereka bukan main-main berada di dalam industri. Contoh terbaik adalah pelakon seperti Fasha Sandha. Tanyalah mana-mana pihak sekalipun, dia adalah seorang pelakon yang amat berdisiplin dan menepati masa.
Masalah ini selamanya tidak akan selesai selagi sifat profesional tidak diamalkan. Ya, kita manusia biasa yang kadang-kadang melakukan kesalahan. Terbangun lambat, penat dan sebagainya, tapi ini adalah kerjaya anda. Bukannya boleh diambil mudah begitu sahaja.
Buat sesetengah pelakon, cukuplah dengan sikap tamak. Buatlah satu pekerjaan itu dengan sempurna sebelum mengambil pekerjaaan lain pula. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri sahaja.
Untuk pihak produksi pula, saya tahu anda mengejar masa. Tetapi berpada-padalah. Duduk berbincang dengan barisan pelakon yang dipilih sebelum memulakan satu-satu penggambaran. Pastikan mereka bersetuju. Tak setuju? Boleh usulkan potongan bayaran. Dan kalau pihak produksi pula yang melambatkan, boleh usulkan tambahan bayaran.
Kalau nak bercakap pasal industri lakonan dalam negara kita ini, memang terlalu jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara jiran. Tapi kita masih boleh berubah, masih boleh menjadi lebih baik. Cukup-cukuplah hidup dengan puluhan tahun yang lalu.
Terima kasih Fasha kerana bersuara. Tapi tolonglah bantu teman-teman seperjuangan yang lain untuk sama-sama kuat dan bersuara juga. Bantulah setakat yang mampu.
Salam Jumaat dan jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Must-Watch Video