Masih belum menerima sebarang bayaran daripada penganjur sebuah acara, kumpulan Caliph Buskers mendedahkan yang mereka tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.

Nirwan selaku gitaris berkata, dia dan anggota kumpulan yang lain mungkin akan membuat laporan polis berhubung isu berkenaan pada hari ini.

“Setakat ini kami belum menerima bayaran daripada pihak penganjur. Kalau ikutkan, mereka janji nak bayar dalam lima hari bekerja. Kami buat persembahan pada 9 dan 10 Disember, tapi sampai sekarang tiada apa-apa bayaran diterima. Kalau call pun, reaksi mereka macam tiada apa-apa. Kami yang kena ‘kejar’ mereka, sepatutnya mereka yang cari kita.

“Selain kami, kumpulan Lestari dan pengacara majlis juga masih belum menerima bayaran. Ada yang dah buat laporan polis, jadi mungkin kami akan menyusul,” katanya kepada Gempak.

Tambah Nirwan, pihak penganjur juga tidak memberikan deposit, memandangkan mereka berjanji yang bayaran penuh beserta duit minyak akan diberi selepas tamat persembahan.

“Mereka dah sediakan kereta, jadi kami pun pergi jayakan persembahan. Lepas show, mereka kata tak boleh transfer duit. Tapi sejak haritu sampai sekarang, memang tiada apa-apa.

“Kami pun ada dapat beberapa panggilan daripada peguam untuk bantu kami. Tapi, kalau boleh kami akan terima bantuan daripada peguam yang mampu beri perkhidmatan percuma. Kami sudah rugi, tambah pula duit peguam, kami tak mampu,” katanya lagi.

Difahamkan, Caliph Buskers masih belum menerima wang bayaran yang dijanjikan berjumlah RM10,300.

Sebelum ini, Caliph Buskers menerusi kemas kini Instagram merayu kepada pihak penganjur untuk melunaskan bayaran mereka, memandangkan duit bayaran tersebut ingin digunakan bagi menyara keluarga.

A post shared by CALIPH BUSKERS (@caliphbuskersofficial)


Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.