Berita
"Bila Dah Mula Baca Al-Quran, Rasa Susah Nak Tinggalkan"- Isteri Ammar Alfian Cuba Fahamkan Terjemahan, Perbaiki Solat
Isteri pelakon Ammar Alfian, Nelissa Nezam mengakui berasa teruja untuk membaca al-Quran setiap hari.
Menurut Nelissa, bukan sekadar membaca sebaliknya, dia juga cuba memahami maksud bagi setiap surah menerusi terjemahan.
"Permulaannya, saya cuba perbetulkan solat saya selain cuba memahami maksud setiap bacaan yang kita lafazkan dalam solat.
"Pada masa sama, saya cuba untuk membaca al-Quran juga. Saya sentiasa berdoa agar Allah bukakan hati agar sentiasa terus mahu membacanya.
"Sampai satu tahap, bila sudah mula baca al-Quran, rasa susah nak tinggalkan. Bahkan, saya jadi sentiasa teruja untuk membacanya setiap hari," katanya ketika dihubungi Gempak.
Katanya lagi, dia berharap, amalan membaca al-Quran itu akan menjadikan bacaan dirinya lebih lancar lagi selepas ini.
"Ya, saya baca dengan terjemahan. Saya rancang utnuk belajar lebih mendalam lagi maksud setiap ayat itu selepas ini.
"Harapnya, tahun depan dan tahun-tahun akan datang, bacaan saya akan jadi lebih baik," kongsinya.
Semalam, Nelissa meluahkan rasa syukur dan gembira apabila dia mampu berjaya mengkhatam al-Quran di bulan Ramadan.
Nelissa mendirikan rumah tangga dengan aktor Ammar Alfian pada 6 Mac 2016. Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Kyro Shakur.
Bagaimanapun, pada Mac lalu, Nelissa dilaporkan sudah memfailkan perceraian pada awal tahun dan ia masih dalam proses.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!