Penyanyi rap, Waris akui selepas bergelar bapa dia sukar untuk berjauhan dengan anak lelakinya, Muddassir Muzzammil yang kini berusia lapan bulan.

Waris berkata dia melalui tempoh perih bagi dirinya apabila terpaksa berpisah dengan anaknya selama dua bulan kerana menjalani penggambaran program travelog.

"Dua bulan tidak jumpa anak membuatkan saya rasa resah, jujur saya katakan perasan rindu itu lain macam.

"Rasa risau pun ada juga, manalah tahu kalau dia tidak kenal sebab ketika saya tinggalkan bersama isteri, Muddassir masih kecil.

"Waktu itu sekitar bulan Februari dan saya ada penggambaran program travelog di sepuluh buah negara Asia.

"Mungkin kerana sebelum ini saya yang menjaganya ketika isteri bekerja jadi rasa kekok dan resah bila anak tiada disisi.

"Kini bila jadi bapa barulah saya faham bagaimana perasaan rindu bila tidak jumpa anak," katanya.

Waris ditemui pada majlis pelancaran album keduanya berjudul Waris Alumni, bertempat di ATAS, Commercial Hub, Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Waris kini sibuk dengan promosi album terbarunya, Waris Alumni.

Terdahulu, Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias telah berkahwin dengan Izzati Amirah Kamaruddin pada 3 Ogos tahun lalu.

Teks oleh: Mya Amri