Bintang Gegar Vaganza, Nora Ariffin enggan mengeluarkan sebarang single terbaharu ekoran senario semasa industri muzik kini.

Jelas Nora, berbeza dengan situasi dahulu yang mana pendengar mengikut selera penyanyi kini sudah terbalik.

"Sebelum ini ada hasrat dan pernah berbincang dengan beberapa komposer untuk merakamkan lagu baru tapi separuh jalan saja.

"Kalau ada lagu baru sekarang pun radio mana nak main?

"Jadi, daripada buang duit baik saya gunakan duit itu untuk perkara lain.

"Sedih memang sedih, ibaratnya industri kita sekarang sudah tidak sihat. Terbalik pula, kita yang penyanyi ni perlu ikut selera orang sajikan. Tak naklah!" kata Nora kepada Gempak.

Nora ditemui pada majlis pelancaran produk makanan Rendang Tok Nora Ariffin di Mega Glory Hall, Bangi, Selangor pada Khamis.

Dalam pada itu, Nora turut bersimpati dengan nasib yang menimpa lagu-lagu baru daripada penyanyi otai seperti Aishah dan Liza Hanim yang tidak diputarkan di corong-corong radio semasa.

"Tengoklah apa jadi pada lagu baru Liza Hanim dan Aishah misalnya, mana lagu-lagu mereka? Tak dengar pun.

"Bila tak ada single baru orang minta, bila dah keluar tak ada radio nak main pun," tambahnya.

Tegas Nora seandainya ada single terbaharu daripadanya, tidak akan ada lagi lagu-lagu sedih.

"Tak nak dah sedih-sedih, kita move on dan bergembira pula," ujarnya yang kali terakhir muncul menerusi single Ada Dalam Tiada.

Sementara itu, produk makanan singnatur Rendang Tok hasil usahasama Nora dan Mega Event kini mendapat permintaan luar biasa dari pelanggan sejak Ramadan lalu.

Antara produk yang dihasilkan daripada usahasama tersebut ialah Rendang Tok, Daging Masak Hitam, Acar Buah dan Kuah Kacang.

Manakala, beberapa menu baharu bakal dikeluarkan dalam masa terdekat iaitu Kuzi Kambing, Pes Bihun Goreng, Pes Nasi Goreng dan Karipap Frozen.