VIRAL

"Bila Kita Besar, Kita Akan Diuji" - Kontroversi 'Plagiat' Tak Gugat, Elrah Exclusive Dedah Capai Sasaran Jualan RM250 Juta Sebelum Syawal

Amri Hassan 28/03/2025 | 02:55 MYT
Meskipun terpalit dengan kontroversi yang mendakwa rekaan samping jenamanya meniru jenama pakaian lain, pemilik Elrah Exclusive, El Azman, menjelaskan bahawa tuduhan tersebut tidak memberi kesan kepada jualan produknya.

BERITA TRENDING: "Tuntutan Dibuat Tidak Berasas" - Elrah Exclusive Tampil Bersuara Dakwaan 'Plagiat' Motif Keris

Mengakui sedikit sebanyak ia menjejaskan reputasinya, namun menurut El atau Mohd Himi Che Azman, 37, kontroversi itu secara tidak langsung menyebabkan jualannya meningkat, meskipun berada di penghujung Ramadan.
“Dalam dunia bisnes, bila kita besar, kita akan diuji. Tuduhan plagiat boleh merosakkan reputasi jika tidak ditangani dengan baik.
“Tapi satu benda yang orang tak boleh plagiat jiwa jenama. Rekaan boleh ditiru, warna boleh disalin, tapi nilai, kepercayaan pelanggan membezakan yang asli dan yang tiruan.
“Namun selepas perkara itu tular, ia tak menjejaskan jualan kami. Sebaliknya jualan kami meningkat naik. Alhamdulillah syukur meskipun di hujung Ramadan ini,” katanya.

BERITA TRENDING: Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang, Tyra Kamaruzzaman Tampil Jawab Tuduhan Sengaja Nak Tumpang Populariti Elrah Exclusive

Strategi jaguh Muay Thai

El menjelaskan bahawa peningkatan jualan bukanlah semata-mata disebabkan kontroversi, sebaliknya hasil strategi pemasaran yang berkesan, termasuk pemilihan barisan artis tempatan serta dua jaguh Muay Thai terkenal, Rodtang dan Tawanchay, sebagai duta jenama Elrah Exclusive.
Malah, El menzahirkan rasa syukur kerana sasaran jualan RM250 juta berjaya dicapai sebelum menjelang Syawal.
“Dengan pengambilan Rodtang dan Tawanchay, ia membuatkan lebih ramai mengenali jenama kami ini. Pengambilan mereka (sebagai duta) memberi kesan baik kepada jenama Elrah.
“Alhamdulillah, tahun ini juga target jualan RM250 juta berjaya dicapai. Angka ini bukan datang semalaman. Ia adalah hasil dari tahun-tahun usaha tanpa henti, eksperimen strategi, dan keberanian untuk berubah mengikut arus pasaran.
“Untuk pengetahuan, jualan di Thailand sangat meningkat iaitu kepada RM70 juta. Malah pengaruh Aisar Khaled dan Fadhli di Indonesia juga meningkatkan jualan di negara sana,” ujarnya lagi.

BERITA TRENDING: Aazief Khalid Tampil Beri Pendapat Tentang Isu Ciplak Sampin - “Mungkin Betul Elrah Telah Copy Design Bulat-Bulat Tapi..."

BERITA TRENDING: Gara-Gara Ulas Isu Suami Tyra Kamaruzzaman, Netizen Dakwa Aazief Khalid Tak ‘Move On’ - “Ex Boyfriend Senyap Lagi Baik”

Selasa lalu, pempengaruh Tyra Kamaruzzaman mendakwa bahawa rekaan kain samping yang dikeluarkan oleh suaminya, Emran Rijal, telah diciplak oleh sebuah jenama baju Melayu terkenal.
Susulan dakwaan tersebut, pemilik Elrah tampil memberikan penjelasan pada Rabu dengan menegaskan bahawa tuduhan itu tidak berasas serta tidak mempunyai asas undang-undang yang kukuh.
Dalam kenyataan yang sama, El turut menegaskan bahawa dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya dakwaan itu menjejaskan reputasi jenama keluarannya.
#Viral #Kontroversi #Duta #Thailand #Ciplak #Plagiat #Muay Thai #Jualan #Keris #Sampin #Elrah Exclusive #El Azman