VIRAL
"Tuntutan Dibuat Tidak Berasas" - Elrah Exclusive Tampil Bersuara Isu 'Plagiat' Motif Keris
Jenama fesyen terkenal, Elrah Exclusive menerusi akaun rasmi pengasasnya, El Azman, tampil menjelaskan kontroversi yang timbul berhubung penggunaan motif keris dalam koleksi Samping Raya Elrah Exclusive 2025.
BERITA TRENDING: Rekaan Samping Suami Tyra Kamaruzzaman Diciplak? Dah Contact Usahawan Baju Melayu Tapi Banyak Alasan - “Sudah Berbulan Lamanya…”
Tegas El Azman; "Kami menghormati sebarang pihak yang ingin mempertahankan hak intelek mereka, namun dalam kes ini, tuntutan yang dibuat adalah tidak berasas.
"Kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang dakwaan yang boleh mencemarkan nama baik @elrahexclusive dan bersedia untuk mempertahankan hak kami melalui saluran undang-undang jika perlu."
Dakwaan bahawa motif tersebut meniru reka bentuk yang didakwa sebagai hak cipta eksklusif oleh pihak tertentu telah disangkal oleh Elrah Exclusive menerusi satu kenyataan rasmi.

Menurut Elrah Exclusive, motif keris bukanlah hak milik eksklusif mana-mana individu atau organisasi, sebaliknya merupakan sebahagian daripada warisan budaya Nusantara yang telah lama wujud dalam seni tekstil Melayu.
"Sama seperti Motif Pucuk Rebung, Motif Bunga Tanjung, dan Motif Kaligrafi, motif ini sering digunakan dalam reka bentuk tradisional seperti songket, batik, dan ukiran kayu," maklum kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menegaskan bahawa hak cipta yang baru sahaja didaftarkan pada tahun 2025 tidak membuktikan pemilikan sejarah seperti yang didakwa sejak tahun 1890.
Pendaftaran hak cipta hanya melindungi reka bentuk spesifik yang telah didaftarkan, bukan konsep umum dalam seni tradisional.
Selain itu, Elrah Exclusive mempertikaikan mengapa dakwaan hanya dibuat selepas koleksi mereka dipasarkan.
"Jika benar motif tersebut telah wujud dalam pemilikan eksklusif sejak tahun 1890, mengapa tiada sebarang pendaftaran rasmi sebelum ini?
"Ini menimbulkan persoalan sama ada dakwaan itu dibuat atas dasar opportunis semata-mata," tulis kenyataan itu lagi.
Sebagai jenama fesyen yang menjunjung tinggi nilai warisan dan keaslian dalam reka bentuk, Elrah Exclusive menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menghormati hak harta intelek dan warisan budaya.
Mereka juga menolak sebarang dakwaan yang tidak berasas dan akan mempertahankan penggunaan elemen budaya yang telah menjadi sebahagian daripada seni serta identiti masyarakat Melayu.
"Elrah Exclusive menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat ke atas koleksi Samping Raya Elrah Exclusive 2025 adalah tidak berasas dan tidak mempunyai asas undang-undang yang kukuh.
"Kami akan terus menghormati warisan budaya serta memastikan setiap rekaan yang dihasilkan mencerminkan keunikan dan keaslian tanpa menjejaskan hak mana-mana pihak," tegas kenyataan itu.
Mereka juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya dakwaan tidak berasas ini menjejaskan reputasi dan kredibiliti jenama mereka.
Terdahulu, usahawan dan pempengaruh Tyra Kamaruzzaman, meluahkan rasa kecewa apabila rekaan samping suaminya, Emran Rijal, didakwa telah diciplak oleh seorang usahawan Baju Melayu.
Tyra menjelaskan bahawa corak tersebut merupakan hasil tangan turun-temurun keluarganya dan telah digunakan dalam perkahwinannya.
Difahamkan pihaknya telah menghubungi usahawan tersebut sejak beberapa bulan lalu, namun hanya menerima pelbagai alasan tanpa penyelesaian.
Must-Watch Video