Penyanyi, Sufian Suhaimi mengakui tidak dapat menahan rasa sebak saat mengerjakan umrah buat pertama kali awal Disember lalu.

Katanya, hal yang ingin dilakukan ketika tiba dan berada di tanah suci adalah untuk melihat Kaabah dengan mata sendiri.

“Sebelum tiba di Mekah, saya memang teruja untuk melihat Kaabah. Sesampainya di sana, saya masih boleh kawal perasaan lagi. Tetapi, apabila tawaf bermula, tiba-tiba hati menjadi sayu. Tak tahulah kenapa… Mungkin sebelum pergi umrah ada macam-macam isu yang saya lalui, termasuklah tentang kerja, hubungan cinta dan juga hal-hal peribadi.

“Jadi saya gunakan kesempatan berada di sana untuk berdoa dan meminta kepada Allah. Tentulah, saya minta kemudahan untuk bekerja, kesihatan yang baik, dipertemukan jodoh yang baik, rezeki dan juga kesejahteraan dunia serta akhirat,” katanya kepada Gempak.

A post shared by Sufian Suhaimi ?? (@sufiansuhaimi_)


Tambah Sufian, dia berasa puas ketika meminta dan berdoa di sana dan berasa sedikit berbeza sekembalinya dia dari Mekah.

“Rasa best dan puas sangat… sebab kita dapat mengadu dan dapat bercerita semua masalah kepada Dia. Saya juga ada rasakan perubahan selepas balik daripada mengerjakan umrah.

“Rasanya ada doa saya yang telah dimakbulkan dan saya juga ada dapat apa yang saya minta,” ujarnya yang ingin kembali ke tanah suci jika diberi peluang dan rezeki pada masa akan datang.

Ditanya tentang pengalaman mengerjakan umrah saat COVID-19 masih lagi mengganas, Sufian mendedahkan, dia sentiasa berasa selamat ketika berada di sana memandanhkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan oleh kerajaan di sana begitu ketat.

“Bila ada SOP, perjalanan ibadah umrah di sana menjadi lagi tersusun, sebab semua pergerakan ada batas. Sebagai contoh kalau nak masu Raudah, nak ziarah makam Rasuliullah kita perlu ada permit.

“Mahu solat lima waktu di Masjidil Haram di Mekah pun harus ada permit. Ibu dan ayah saya cerita, sekarang best sangat sebab jemaah tak ramai maca dulu. Kata mereka, keadaan ketika mengerjakan umrah sebelum ini agak sesak, sampai tawaf pun tak dapat tengok Kaabah. Alhamdulillah masa saya pergi ni, kita boleh buat tawaf dengan selesa,” katanya yang ke sana dengan ibu dan bapanya.

Dalam perkembangan lain, Sufian bakal memulakan aktiviti seninya tidak lama lagi, selain menyatakan keinginan untuk membantu mereka yang terlibat dengan musibah banjir.