Penyanyi Daiyan Trisha meluahkan isi hatinya menerusi lagu terbaharu berjudul Penat.

Menurut Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, bait-bait lirik di dalam lagu yersebut menceritakan tentang banyak situasi yang boleh menghancurkan hari seseorang antaranya perpisahan yang memedihkan, penantian yang tiada penghujungnya, pemergian orang yang disayangi dan sebagainya.

“Bila kita melalui momen patah hati, segala isi dunia perlahan-lahan terhenti. Kita jadi kaku seperti segalanya tidak lagi memegang apa-apa maksud sekalipun.

“Kita seperti berada dalam keadaan yang kekal penat selamanya, dengan keperitan yang tiada noktah,” ujarnya.

Jelas Daiyan lagi, lagu ini bertajuk Penat kerana ia melambangkan betapa beratnya perkataan tersebut kerana menyimpan pelbagai perasaan.

“Lagu ini ingin menyampaikan maksud seolah-olah kita akan menjadi amat penat kerana memendam pelbagai perasaan.

“Ia juga bermaksud apabila kita dihadapkan dengan emosi yang terlampau dalam dan berat, kita hanya mampu bersendiri dan menangis sambil berbisik - aku penat,” katanya.

Dengan menggunakan bakat sebagai penulis lirik, Penat merupakan ciptaan sepenuhnya
oleh Daiyan sendiri manakala bunyi untuk lagu ini dihasilkan oleh Kuizz.

Lirik video Penat arahan Jasmine Wong ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Penggambaran yang dilakukan di sebuah bilik ini mengisahkan tentang seorang gadis yang sangat penat mengharungi kisah cintanya yang luluh dan pada masa yang sama terpaksa menghadap liku-liku hidupnya dengan keadaan semasa, namun tetap menanti kekasihnya untuk kembali.

Lagu Penat sudah boleh didapati di kesemua pelantar penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, dan Deezer bermula 20 Ogos 2021 manakala video lirik rasmi juga boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia pada hari yang sama.

Kredit foto: Instagram @daiyantrisha