Sejak sehari dua ni, media-media sosial jadi tempat perbincangan hangat bila pelakon, pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa buat keputusan untuk berniqab. Macam biasa, ada yang puji, ada yang sambut baik, ada yang skeptikal dan bermacam pendapat lainnya.

Secara peribadi, aku tak kenal rapat pun dengan Neelofa. Aku pernah menemubual dia beberapa kali. Itu saja. Tapi aku sentiasa admirer kebijaksanaannya. Bukan saja dari segi tutur kata dan perbualan, tetapi juga bila memberi pendapat. Mungkin aku agak bias sebab dia pernah puji aku.

"I like you. You asked all the inteligent questions."

Pergh! Aku tak akan lupa kata-kata yang dia cakap pada aku. Antara momen yang aku simpan dalam telefon aku!

Berbalik kepada perkara yang aku nak bicarakan, apa saja perubahan yang dibuat Neelofa adalah atas pilihannya sendiri. Dia pilih jalan untuk mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa dengan caranya, bukan atas suruhan manusia lain.

Dia pilih jalan yang difikirkan terbaik untuk dirinya. Kita pun semua setiap masa dijentik hati oleh Pencipta kita. Dan kita sendiri yang buat keputusan untuk berubah atau tidak. Memilih jalan yang lebih baik atau terus duduk di tempat sama.

Pada aku, Neelofa tetap Neelofa. Seorang yang mempunyai auranya yang tersendiri. Aku tak pernah bimbang dan ragu dengan apa pilihan yang dibuat oleh Neelofa. Itu hak dia. Siapa aku nak masuk campur? Aku anggap aku hanya pemerhati sahaja.

Tapi, biarpun hanya sebagai pemerhati, aku tak terlepas dengan apa yang pernah terjadi dalam hidupnya. Maksud aku perkara-perkara kontroversi yang sering menjadi buah mulut orang.

Dia pernah dikecam hebat sebab lancarkan hijab di kelab hiburan, walaupun dia dah bagitahu bahawa semua makanan dan minuman dibawa dari luar. Macam biasa, mana ada orang yang akan puas hati! Macam-macam gelaran diberikan pada Neelofa. Macam-macam perlian dan hinaan hanya kerana perkara tersebut.

Kenapa aku ungkitkan kembali benda ni? Kerana aku nak semua orang ingat terutamanya pada segelintir mereka yang 'hari ni puji esok kutuk', 'hari ni sanjung esok pijak'. Neelofa adalah insan biasa seperti kita semua juga. Dia ada ketidak sempurnaannya. Dia juga ada kelemahan, dan dia juga terima bisikan-bisikan syaitan. Macam kita semua.

Tidak! Bukan aku mendoakan sesuatu yang tak baik akan berlaku atau sewaktu dengannya. Aku cuma nak pesan dan ingatkan bahawa kita semua ni manusia biasa yang tak sempurna. Ada masa kita mungkin akan tersadung atau terjatuh. Jadi, jangan terus menghukum. Jangan terus sabitkan kesalahan. Itu yang aku nak sampaikan. Dan aku nak ulang, kita semua adalah manusia yang tak sempurna, bukan dari sifatnya, tapi dari hati yang ada khilafnya sendiri.

Itu yang aku nak pesankan! Kalau timbul apa-apa lepas ni jangan bising pulak. Jangan meroyan macam Neelofa tu dah buat salah yang tidak boleh dimaafkan, sedangkan apa yang dia buat antara dia dengan Yang Maha Esa. Tapi segelintir orang kita ni selalu lebih pantas dan cepat menghakimi serta menjatuhkan hukuman.

Seperti mana aku tak suka dengan perkataan keyboard warrior, macam tu juga aku tak suka dengan perkataan 'ustaz dan ustazah media sosial'. Jangan tinggikan martabat mereka ini dengan memberi pangkat warrior dan ustaz/ustazah kerana warrior atau pahlawan dan ustaz/ustazah yang sebenar ni kita tahu bagaimana sifat-sifat mereka. Mereka ketua dan mereka pembimbing. Mereka bukan orang yang mencaci hina, mahupun menegur dengan cara mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang lain.

Satu lagi benda yang aku muak membaca adalah bila ada segelintir manusia yang sering beri alasan 'tanggungjawab kita untuk menegur'. Tanggungjawab pada diri sendiripun tak terlaksana, inikan pula nak lakukan tanggungjawab pada orang lain.

Sekarang ni pun dah ada yang sibuk suruh Neelofa jaga itu dan ini, jangan nampakkan itu dan ini. Tolonglah! Biarlah dia buat keputusannya untuk kebaikan dirinya sendiri, boleh tak? Kerja kita? Doakan untuk dia dan lebih penting, doakan untuk diri kita sendiri dan ahli keluarga kita.

Untuk Neelofa kalau dia bacalah, semoga terus mencari bahagia kerana setiap daripada kita berhak untuk bahagia dengan pilihan yang kita lakukan. Buatlah yang terbaik untuk diri sendiri. Pada saya (takkan nak pakai 'aku' bila cakap dengan Neelofa), anda adalah seorang wanita yang saya akan sentiasa admirer.

Semoga aku juga akan terus mendapat hidayah, Amin Ya Rabb.

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram Neelofa

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.