Hiburan
Bintang Tollywood Allu Arjun Ditahan Selepas Kematian Wanita Ketika Tayangan Perdana Filem Pushpa 2
Bintang popular India, Allu Arjun telah ditahan oleh pihak berkuasa selepas kematian seorang wanita dalam rempuhan orang ramai ketika tayangan perdana filem lakonannya, Pushpa 2: The Rule baru-baru ini.
Arjun yang turut digelar Tollywood popular dalam industri perfileman Telugu membuat kemunculan sempena acara terbabit yang berlangsung di Hyderabad pada 4 Disember lalu, ketika insiden berkenaan berlaku.
BERITA TRENDING: Ditikam Tolak Lamaran Kahwin, Aktres Tamil Puas Hati Pengarah Kena Penjara
Bagaimanapun, hal tidak terduga berlaku apabila seorang wanita berusia 39 tahun yang juga peminat setianya maut manakala anak lelakinya berusia 9 tahun cedera parah.
Pihak berkuasa pada awal minggu lalu telah menahan pemilik pawagam lokasi kejadian berlaku dan menahan Arjun di kediamannya pada Jumaat.
Arjun kemudiannya dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah tempatan beberapa jam selepas ditahan dan difahamkan akan dibebaskan daripada tahanan dalam masa terdekat, maklum peguamnya.
Menerusi dokumen yang dilaporkan Reuters, nama pelakon itu antara tersenarai dalam aduan kepada pihak polis, yang mendakwa pihak pengawal keselamatannya bertindak untuk mengawal peminat yang menghampirinya, menyebabkan kematian wanita berkenaan akibat kesukaran bernafas.
Wakil daripada pihak Arjun kemudiannya menafikan sebarang dakwaan salah.
Menerusi ciapan Arjun di platform X, pelakon itu menyampaikan ucapan takziah buat keluarga mangsa.
"Dengan rasa rendah dirinya saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga yang berduka cita atas insiden yang berlaku.
"Ketika kita menghormati detik yang sukar ini, saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan kerjasama sebaik mungkin," tulisnya.
Arjun antara individu paling popular dalam industri perfileman Telugu yang berpangkalan di Andra Pradesh dan Telangana, India.
Beliau pernah memenangi pelbagai anugerah dan meraih jumlah pengikut sekitar 28 juta di Instagram malah, difahamkan antara pelakon yang menerima jumlah bayaran paling mahal di India.