Pelakon, Bkay Nair memaklumkan dirinya tidak pernah meletakkan titik penamat untuk terus aktif dalam bidang lakonan walaupun agak jarang kelihatan di dalam televisyen atau di layar lebar.

Bagaimanapun kata Bkay, dia bersedia untuk menerima sebarang tawaran sekiranya diberikan watak yang sesuai dengan dirinya.

“Memang ada yang tanya sama ada saya sudah berhenti berlakon ke? Tapi saya cakaplah yang saya masih aktif lagi dalam dunia seni.

“Tapi saya rasa dengan peningkatan usia ini macam dah tua serta kurang sesuai pula nak aktif berlakon seperti dulu.

“Kalau ada yang nak bagi peluang berlakon, saya bersedia saja untuk terima. Tapi watak tersebut kenalah bersesuaian,” katanya ketika ditemui Gempak.

Bkay ditemui pada Pertunjukan Fesyen Warisan Navara anjuran syarikatnya sendiri di Pusat Kraftangan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Bkay lagi, dia kini sibuk menguruskan perniagaan, Bkay Nair Resources (BNR) yang merupakan sebuah syarikat perunding imej.

“Seperti semua sedia maklum, lakonan memperuntukkan masa yang sangat panjang. Saya sibuk dengan perniagaan sendiri.

“Selain itu saya juga menghadiri pelbagai acara jadi agak mustahil untuk saya membahagikan masa dengan berlakon.

“Tapi, kalau setakat pelakon tambahan atau cameo, saya okay saja tak ada masalah. Sejujurnya saya baharu saja selesai penggambaran drama atas talian.

“Penggambaran tersebut tak ambil masa yang lam, cuma dua hari. Kalau macam tu, saya okay sahaja,”jelasnya.

Terdahulu, Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa anjuran BNR, acara kemuncaknya menampilkan fesyen memukau menggabungkan tekstil tradisional Malaysia dengan rekaan fesyen kotemporari yang diinspirasi oleh Saree.

Saree Malaysia yang dihasilkan dengan teliti daripada Batik, Songket, dan Sutera Malaysia ini menjadi lambang yang mendalam terhadap warisan budaya Malaysia.

Ciptaan ini tidak hanya mencerminkan sejarah dan tradisi yang kaya negara tetapi juga berperanan sebagai medium ekspresi seni.

Seramai 44 model mempersembahkan sejumlah 77 penampilan yang menakjubkan hasil rekaan daripada 11 pereka tempatan.

Pereka fesyen ini terdiri daripada Norina Abdul, Munir Yahya, Linda Isa, Kesheen Ragunathan, Yani Baktiar, Zandra dan Kalai.

Empat lagi adalah daripada pelajar International Academy of Fashion and Design (IFTC) iaitu Tan Ruo Qian, Priyashalini Eswaran, Naresh Yempati dan Lia Mysara.

Selain itu, Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa bukan sahaja untuk mempromosikan kelestarian budaya tetapi juga mempekasakan artis tempatan, pereka dan penenun.

Melalui acara Anugerah Pengiktirafan Pereka yang berlangsung pada hari kemuncak acara untuk mengangkat individu berbakat ini dan menyokong kelestarian kraftangan tradisional.

Tiga pereka fesyen yang menerima anugerah itu ialah Pereka Terbaik (kategori pelajar), Naresh Yempati, Anugerah Pereka Kreatif (Kesheen Ragunathan) dan Anugerah Malaysian Heritage Excellence yang dimenangi oleh Munir Yahya.