Pelakon drama Hati Yang Dikhianati, Amar Baharin berpegang pada prinsip hidup dan kerjaya untuk tidak terlalu memfokuskan pada pandangan netizen.

Biar ada segelintirnya betul, kata Amar komen atau kritikan membina boleh diambil untuk memperbaiki diri dan mengendahkan kata-kata yang boleh menjejaskan diri sendiri.

"Saya tak pernah berpegang pada pendapat netizen, saya ada prinsip hidup dan kerja. Saya buat atas dasar dengan siapa saya bekerja.

"Benda takkan habis kalau dengar cakap netizen. Ada yang sokong ada tak, jadi kita nak duduk kat mana? Kita boleh gila kalau asyik nak dengar pendapat orang.

"Kalau ada hal yang saya buat itu salah, saya minta maaf je lah," katanya mengulas mengenai budaya memboikot dalam kalangan netizen.

Tambah Amar, sekiranya seseorang artis itu berbuat salah, mengakui kesilapan dan memohon maaf, netizen dan peminat juga harus bijak untuk menilai situasi terbabit.

Tidak adil untuk membuat kesimpulan bersifat 'pukul rata' hingga timbul mentaliti memboikot produk, program atau rancangan yang melibatkan seseorang artis yang kurang disenangi mereka.

"Mungkin netizen tak boleh terima sebab adakalanya pandangan atau kata-kata yang diungkapkan seseorang artis itu terlalu terbuka.

"Tapi kalau dah minta maaf, dah lah. Tak wajar nak boikot-boikot ni.

"Mungkin ada sesetengah pendapat boleh diterima untuk memperbaiki diri. Yang tak elok biar jadi angin lalu sajalah. Kalau salah minta maaf, tak buat cakap tak buat, asalkan jujur dengan diri sendiri," tambahnya.

Drama bersiri Hati Yang Dikhianati kini kembali disiarkan sejak 22 Oktober lalu dengan kisah yang lebih panas dan pergolakan mendebarkan.

Hati Yang Dikhianati bersiaran pada pukul 6 petang Isnin hingga Jumaat di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.


***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!