Berita gembira buat peminat siri animasi kanak-kanak Didi & Friends, kini anda boleh temui maskot kegemaran anda dalam program ‘Ladang Didi & Friends’ di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang program berlangusng bermula 4 hingga 14 Ogos 2022 di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022.

Menurut Kelab MAFI dengan kerjasama Astro Malaysia dan Warnakala Studio Sdn Bhd, program yang julung kali diadakan ini bertujuan memupuk minat kanak-kanak dalam bidang pertanian.

Sementara itu, Izzuddin Ahmad Jamalun Nahar yang bertindak selaku wakil Astro berkata pihaknya sangat berbesar hati menjadi sebahagian dari penganjuran program kali ini.

“Kami sangat berbangga Didi & Friends menjadi sebuah animasi yang digemari kanak-kanak dan sesuai untuk dijadikan sebagai hiburan yang mampu mendidik mereka dalam pelbagai topik.

“Buat pertama kalinya, Didi & Friends menyertai dan menyokong pameran MAHA 2022 ini dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang bukan sahaja mampu memberi mereka pengalaman yang baharu tetapi juga memberi mereka pencerahan tentang pertanian serta kebaikan bercucuk tanam, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kami berharap semua yang menyertai pameran ini dapat menimba pengetahuan dan berhibur sepenuhnya bersama-sama dengan karakter-karakter kegemaran mereka,” katanya.

Bermula seawal 10 pagi hingga 10 malam, ini antara aktiviti menarik buat anda yang hadir ke ‘Ladang Didi & Friends’:

#1 Pekan Horey

Antara kawasan aktiviti tersedia secara percuma di MAHA 2022 kali ini untuk seisi keluarga adalah di Pekan Horey.

Ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke gerai-gerai yang disediakan untuk membeli barangan eksklusif daripada tawaran jualan istimewa Didi & Friends termasuk barangan permainan, makanan serta minuman.

#2 Mini Muzikal Ladang Pak Atan

Aktiviti kemuncak Didi & Friends di MAHA 2022 kali ini adalah persembahan muzikal mini Didi & Friends yang bertemakan ‘Ladang Pak Atan’.

Kanak-kanak dan ibu bapa boleh menyanyi dan menari bersama karakter-karakter Didi & Friends dengan lagu-lagu yang mengetengahkan kepentingan pertanian dan makanan dalam kehidupan seharian.

Muzikal mini akan berlangsung pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang pameran dan akan dibahagikan kepada lima slot, selama 30 minit setiap persembahan.

Mereka yang berminat untuk menyaksikan persembahan muzikal boleh mendapatkan tiket di pintu masuk pameran atau di tickets2u.com.my dengan harga RM32.00 untuk tiket VIP (tempat duduk eksklusif dan Meet & Greet bersama Didi & Friends) dan RM12.00 untuk tiket biasa, manakala tiket untuk kanak-kanak yang berumur 1 tahun dan ke bawah adalah percuma.

Eksklusif untuk para pelanggan Astro, mereka boleh menebus tiket persembahan muzikal mini Didi & Friends di kios Astro Rewards pada hari yang sama. Peluang untuk menebus tiket ini adalah terhad dan setiap pelanggan hanya boleh menebus satu tiket seorang sahaja untuk slot persembahan pilihan mereka. .

Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai barangan eksklusif Didi & Friends dan menangi pelbagai hadiah menarik di Pekan Horey serta nikmati persembahan istimewa daripada karakter-karakter kegemaran anda di muzikal mini Didi & Friends.

Saksikan juga siri animasi ‘Didi & Friends’ di saluran Astro Ceria (611) atau strim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.