Perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai jumlah kes positif Covid-19 semalam ternyata memberikan sinar harapan buat semua.

Dengan jumlah 14,345 dicatatkan, kes Covid di Malaysia menyaksikan penurunan ketara berbanding sebelumnya.

Difahamkan, Sarawak kekal mendahului negeri lain apabila mencatatkan 3,611 kes diikuti Johor (1,598) dan Selangor (1,365).

Wilayah Persekutuan (WP) Labuan tidak mencatatkan sebarang kes manakala WP Putrajaya di tempat kedua negeri dengan jumlah kes paling sedikit iaitu hanya 11 kes.

BACA: COVID-19: Kes Kekal Turun, Tapi Sarawak Dan Johor Masih...

Namun, apa yang lebih menarik perhatian adalah reaksi dan harapan orang ramai yang memohon supaya sempadan negeri kembali dibuka.

Menerusi pemantauan Gempak di media sosial, rata-ratanya menganggap trend penurunan kes Covid-19 seakan memberi ruang kepada mereka kembali merentas negeri.

Perkara itu sekali gus mengubat kerinduan ramai untuk berjumpa ibu bapa selepas hampir setahun berpisah.

“Makin lama makin turun, Selangor paling ketara. Dah boleh rasanya nak rentas tak lama lagi”.

“Alhamdulillah, kes turun seminggu dua ni, bila agaknya boleh rentas”.

“Syukur kes turun, dah boleh siap packing barang balik kampung soon,” tulis beberapa netizen.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pelbagai pihak untuk kebenaran merentas negeri.

Menurut beliau, pengumuman mengenai hasil perbincangan kebenaran rentas negeri akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Apabila rentas negeri dibuka orang luar boleh masuk (ke negeri lain). Kementerian telah senaraikan nama-nama destinasi.

“Bukan sahaja pulau, termasuk kawasan darat seperti Genting Highlands, Cameron Highlands, Fraser Hill dan lain-lain destinasi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat semalam.