Usahawan dan pelakon Boy Iman mengakui terkejut apabila mendapat tahu mengenai penarikan balik darjah kebesarannya, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, baru-baru ini.

Tambah Boy lagi, dia turut berasa ralat kerana tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung perkara tersebut.

Dakwa Boy, penarikan balik darjah kebesaran tersebut dilakukan tidak mengikut saluran betul sebelum disebarkan kepada orang ramai melalui media.

Katanya lagi, dia hanya mengetahui mengenai darjah kebesarannya ditarik menerusi rakan-rakan media yang bertanya tentang perkara tersebut.

[[BACA: Gelaran Datuk Boy Iman & Farid Kamil Ditarik Balik Sejak...]]

“Setakat ini saya belum menerima sebarang surat rasmi daripada Kerajaan Pahang berhubung penarikan balik darjah kebesaran.

“Jujur, saya terkejut apabila rakan-rakan media hubungi dan bertanya tentang hal itu kerana saya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pihak istana.

“Saya tak sedih tetapi kecewa dan ralat. Saya rasa apa yang berlaku tidak melambangkan kredibiliti atau protocol, itu sahaja,” katanya.

Bagaimanapun kata Boy dia tidak mahu mengulas lanjut sehingga menerima surat rasmi tetapi tidak teraga-agak untuk menulis surat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK Pahang) untuk bertanyakan sebab darjah kebesarannya ditarik balik.

“Saya tak berani nak komen panjang. Saya masih menunggu surat tetapi kalau sampai esok (Jumaat) tak ada-apa, saya akan tulis surat kepada mereka melalui peguam saya.

“Bagi saya surat rasmi itu penting sebelum memberi kenyataan media kepada wartawan,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial tentang pengumuman rasmi penarikan balik darjah kebesaran iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Norul Iman Abdul Rahman dan Farid Kamil Zahari berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam satu kenyataan berkata, penarikan gelaran itu bagi menjunjung titah perintah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.