Bintang Gegar Vaganza 2019 (GV2019) Hady Mirza telah menghubungi penyanyi Ezad Lazim sebelum mempersembahkan lagu Demi Cinta pada konsert minggu kedua program tersebut.

Pada konsert minggu kedua yang berlangsung penuh meriah, Hady terlebih dahulu meminta izin pada Ezad untuk mengubah lagu tersebut agar sesuai dengan jiwanya.

“Saya hubungi Ezad beritahu saya akan bawakan lagu Demi Cinta ni sehabis baik. Malah saya turut maklumkan akan melakukan sedikit pembaharuan pada susunan lagu.

“Saya mahu tampilkan kelainan dengan lari daripada cara Ezad membawakan lagu tersebut. Ezad bila dia buka mulut, siapa sahaja yang tidak mengenali suara tu,” kata Hady kepada Gempak.



Hady ditemui ketika selesai membuat persembahan minggu kedua GV2019 yang diadakan di Auditorium MBSA Shah Alam pada Ahad.

Hady yang turut mengagumi suara Ezad turut terharu apabila menerima sokongan padu daripada vokalis kumpulan Exists itu untuknya membawakan lagu Demi Cinta.

Lebih istimewa, Hady turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cili Padi Paling Power pada konsert minggu kedua.

Anugerah tersebut diberikan kepada bintang paling menyerlah dan persembahan terbaik hasil pilihan juri.

“Alhamdulillah nampaknya pihak juri terima persembahan saya dan inilah rezeki saya pada minggu ini. Saya tak sangka dipilih selaku penerima anugerah.

“Pada saya, lagu ini susah dan saya sendiri tidak berpuas hati dengan hasil persembahan saya pada konsert minggu kedua. Rasa macam ada banyak salah,” jelasnya lagi.

Selaku pemenang, Hady menerima hadiah istimewa berupa RM3,000 dan bekalan produk Adabi bernilai RM500.

Pada konsert minggu ketiga yang bakal berlangsung Ahad ini bertemakan Yang Aneh-Aneh, Hady menerima lagu Ibu Kota Cinta nyanyian asal kumpulan Def Gab C.

GV2019 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia.

Produk yogurt Farm Fresh Malaysia kaya dengan nutrisi yang dikehendaki oleh tubuh seperti kalsium, vitamin B dan pelbagai mineral.

GV2019 turut ditaja bersama oleh Adabi, Cuckoo, Powercat, Uphamol dan Digi selaku telco rasmi.