Laman Utama
Buat Content Kubur Arwah Siti Sarah, Shuib Maafkan Aisar Khaled - "Tak Guna Nak Berdendam"
Suami kepada arwah Siti Sarah Raissuddin, Shuib memaafkan tindakan melampau YouTuber sensasi, Aisar Khaled.
Menerusi kiriman voice note WhatsApp kepada Aisar yang didedahkan di akaun pemuda terbabit, Shuib enggan menyimpan dendam.
"Tidak mengapa… saya dari awal dapat tahu dan tengok video itu, saya sudah maafkan awak. Tiada gunanya saya nak sakit hati nak berdendam. Saya nak mudahkan urusan semua orang sebab saya juga minta Allah mudahkan urusan saya.
"Jadi saya tidak mahu berbuat salah juga tidak mahu menyusahkan orang lain. InsyaAllah awak orang hebat dan baik, terus buat kebaikan," kata Shuib.
Tambahnya secara umum tiada manusia pun yang sempurna dan menjadi sifat semulajadi insan untuk melakukan khilaf dalam kehidupan.
Namun, nasihat Shuib agar Aisar menggunakan platform YouTube miliknya dengan cara yang berhemah untuk menyebarkan kebaikan kepada pengikutnya.
"Saya juga selalu berbuat salah dan dosa. Banyak dosa saya dengan Allah. Tapi mungkin apa yang kita boleh ambil pengajaran ini, janganlah kita membuat kesalahan sama atau pun kita tidak perasan kesalahan itu tidak sepatutnya kita buat.
"Saya doakan awak terus menjadi YouTuber yang hebat, baik dan bagus. Gunakan platform kita untuk sebarkan kebaikan. Jangan jadi orang yang terlalu seronok membuat kandungan sampaikan akhirnya nanti, apa yang kita buat itu akan makan diri kita sendiri.
"Insya-Allah kita kena ingat kematian cukup hampir dengan kita, cuma tidak tahu bila. Jadi semoga kebaikan yang kita buat di atas muka bumi ini menerusi platform yang Allah bagi untuk perkara baik untuk semua dan kita," tambahnya.
Aisar kemudiannya berterima kasih kepada anggota kumpulan Sepahtu itu dan pada masa sama insiden terbabit membuka matanya untuk menjadi individu lebih baik.
Awal Ogos lalu, Aisar mendapat kecaman hebat di media sosial apabila memuatnaik kandungan video menziarah kubur arwah Siti Sarah pada hari sama kematian penyanyi wanita itu.
Kandungan video yang turut terkandung giveaway dan monetization itu dikritik hebat dan disifatkan netizen tidak sensitif.
Aisar kemudiannya membuat permohonan maaf terbuka selain memadamkan video terbabit.
Must-Watch Video