Sejak kebelakangan ini, kes buli sama ada di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi semakin hangat diperkatakan. Hal ini bukan sahaja dilihat membimbangkan, malah tidak seharusnya dibiarkan berleluasa dalam kalangan pelajar dan juga kanak-kanak.



Justeru, menerusi telefilem terbaharu lakonannya, Cinta Round 1 yang bakal menemui penonton tidak lama lagi, Izzue berharap agar karya yang mengetengahkan kisah buli di kolej ini mampu memberi pengajaran kepada penonton.

“Menerusi telefilem Cinta Round 1 ini, saya memegang watak sebagai Farid. Dari segi perwatakan, Farid merupakan seorang pelajar kolej yang pendiam dan tidak mempunyai kawan. Disebabkan sifatnya yang pendiam itu, Farid sering menjadi mangsa buli.

“Bagi saya, telefilem ini memberi perspektif berbeza terhadap isu buli. Ia bukan sahaja mampu memberi semangat mangsa buli, tetapi boleh juga menjadi pengajaran buat pembuli dan mereka yanga da niat untuk membuli,” katanya kepada Gempak.

A post shared by Bambam Studios (@bambam_studios)


Menerut Izzue, antara cabaran yang harus ditempuh sepanjang membintangi telefilem berkenaan adalah sentiasa perlu menjaga diri saat kes COVID-19 masih lagi tinggi selain melakonkan babak ekstrim tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.

“Telefilem ini dibikin selepas industri kreatif sudah dibenarkan untuk beroperasi setelah beberapa bulan lockdown. Sesi penggambaran juga dijalankan di Perak kerana ketika itu Kuala Lumpur dan Selangor masih lagi dalam zon merah.

“Jadi antara cabaran terbesar adalah masing-masing perlu sentiasa berjaga-jaga sebab kes masih tinggi. Dari segi watak pula memang ada sedikit cabaran kerana pada hujung cerita, watak Farid bakal terlibat dalam scene underground fighting. Untuk makluman, setiap babak kami jayakan sendiri,” katanya lagi.

Cinta Round 1 mengisahkan tentang seorang pelajar bernama Farid, yang sering dibuli oleh rakan kolejnya Syakirin. Akibat tidak tahan kerana sering dibuli oleh Syakirin, Farid nekad untuk bersemuka dengan Syakirin supaya gelaja buli ke atas dirinya dihentikan.

Dalam pada itu, Qiela tampil membantu Farid dan berjaya mengubah Farid daripada seorang yang penakut kepada berani. Dari seorang yang lemah kepada yang lebih bersedia. Ini membuatkan Syakirin tiba-tiba menjadi gusar dan terpaksa menggunakan Faridah sebagai helah ke atas Farid.

Telefilem Cinta Round 1 bakal menemui penonton pada 13 November ini pukul 9 malam menerusi saluran Astro Citra 108.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!