Baru-baru ini tular video memaparkan sejumlah bubble tea yang menjadi keras selepas dibiarkan di atas lantai.

Video itu sekali gus membuatkan ramai netizen serta peminat bubble tea tidak senang duduk.

Tidak mahu pengguna tertipu dengan teori tersebut, seorang doktor tampil memberi penjelasan.

Menerusi satu posting di Facebook, ahli kimia Dr. Fatimah Salim menjelaskan bubble tea sebenarnya diperbuat daripada tepung ubi yang mana komponen utamanya adalah kanji.

"Namun dalam perut tidaklah jadi keras macam dalam video tu. Sebab dalam perut kita ada cecair yang terdiri daripada pelbagai jenis bahan kimia semula jadi seperti enzim, hormon, asid, alkali yang bertungkus lumus menjalankan proses penghadaman.

"Cuma ianya akan mengambil masa yang lama sedikit untuk dihadam," katanya.

Tambah Fatimah, bagi membantu proses penghadaman bubble tea ini, pengguna harus mengunyah dengan lebih kerap.

"Kunyahlah lama-lama ia akan mengecilkan saiz bebola bubble, memberikan ruang dan masa yang cukup untuk enzim dalam air liur berinteraksi dengan struktur kanji. Ini akan memudahkan proses pencernaan seterusnya dalam sistem penghadaman," katanya.