Sebagai sahabat baik, penyanyi Indonesia Budi Doremi bersimpati dengan nasib menimpa aktor Kamal Adli yang terlibat dalam insiden serangan baru-baru ini.

Ada menghubungi Kamal untuk bertanya khabar, Budi berkata dia turut mengundang aktor itu ke Konsert Dream Festival: Nidji X Budi Doremi yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

“Ya saya ada hubungi (Kamal). Saya tiba di Kuala Lumpur semalam, dan tadi Kamal meminta maaf kerana dia tak boleh datang kerana dia masih belum boleh keluar.

“Memang sebelum benda itu terjadi, saya ada undang Kamal ke konsert saya malam ini tapi Kamal beritahu dia tak boleh kerana masih dalam kawalan polis.

“Teringin nak melawat Kamal kerana dia adalah kawan saya di Malaysia dan dia juga cukup baik pada saya. Banyak benda kami sudah lakukan bersama memandangkan kami suka bercanda,” katanya kepada Gempak.

Kongsi Budi lagi, dia sebenarnya sudah mengenali suami kepada aktres Uqasha Senrose itu sejak 2013 dan kali terakhir berjumpa adalah pada Oktober tahun lalu.

“Kami bertemu ketika saya hadir melakukan promosi di sini. Dan sememangnya kami senang di antara satu sama lain. Kamal seorang yang tidak punya musuh dan dia seorang yang sangat baik.

“Tapi ternyata sebaik-baik manusia itu masih ada yang tak suka. Mudah-mudahan Kamal cepat sembuh dan cepat kembali bekerja seperti dahulu,” katanya.

Terdahulu, Kamal yang diserang individu tidak dikenali di sebuah ekspo di Singapura hingga mengakibatkan suami kepada Uqasha Senrose itu mengalami kecederaan serius di kepala.

Untuk info, Budi bersama kumpulan Nijdi baru sahaja mengadakan Konsert Dream Festival di Zepp Kuala Lumpur yang dihadiri 2,000 peminat mereka.