Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Buka Tadika Sedia Khidmat Pendidikan Khas, Ahmad Idham; "Ampang Tempat Saya Membesar & Inilah Masa Untuk Saya Beri Balik Kepada Masyarakat"

Amri Hassan
10/04/2022 23:45 MYT
Pelakon, pengarah dan penerbit Dr Ahmad Idham dan isteri, Jameah Abdul Aziz menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus dengan Tadika Sinar Indah Berkat.

Memorandum itu adalah sebagai simbolik jalinan usaha sama bagi meningkatkan pembangunan dan kesedaran terhadap Pendidikan Khas kepada golongan anak-anak istimewa di sekitar Ampang.

"Ampang adalah tempat saya dan isteri saya membesar dan di Bukit Indah inilah di mana mulanya saya dan isteri mengusahakan tadika kami selama 14 tahun.

"Tadika ini juga adalah tadika pertama di Bukit Indah yang memperkenalkan kaedah montessori.

"Saya nak mulakan dulu dengan Ampang sebagai Hub Pendidikan Khas dan insya-Allah akan saya kembangkan ke seluruh Malaysia," ujarnya.

Usahasama itu juga menjadi sebahagian daripada tanda penghargaan buat peminat yang menyokong kerjaya seninya sejak 25 tahun lalu.

"Berjayanya saya selama 25 tahun di dalam dunia seni ini adalah di sebabkan sokongan peminat dan masyarakat di luar sana, sudah sampai masanya untuk saya membalas jasa mereka dengan memberi balik kepada komuniti sebagai CSR saya..insya-Allah," tambahnya.

Antara yang disenaraikan dalam memorandum persefahaman itu adalah menyediakan khidmat saringan percuma pra-diagnosis untuk anak-anak yang lambat dari segi akademik, mewujudkan program sokongan kepada ibu bapa, menyediakan latihan untuk guru-guru yang mengajar anak-anak istimewa dan program kekeluargaan antara ibu bapa dengan guru.

Selepas ini, Idham juga akan memulakan gerakan untuk ke beberapa sekolah di Ampang di samping menziarahi keluarga di sekitar Ampang untuk menghulurkan khidmat bantuan.

#pelakon #Ahmad Idham #MoU #Ampang #Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus #Tadika Sinar Indah Berkat
;