Penyanyi, penerbit muzik dan komposer terkenal, Faizal Tahir menafikan andaian sesetengah pihak yang menganggap pelancaran album terakhirnya yang berjudul Rojak hanya sekadar gimik.

Menurut Faizal, keputusan untuk tidak lagi menerbitkan album fizikal selepas ini disebabkan oleh peredaran muzik semasa.

"Rojak memang album fizikal terakhir saya. Memang benar, bukan gimik! Semuanya kerana peredaran muzik semasa yang beralih kepada dunia digital.

"Saya tak pernah cakap saya mahu berhenti menghasilkan muzik, berhenti menyanyi atau berhenti berkarya... Cuma selepas ini, tiada lagi album baru dari saya," kata Faizal.

Penyanyi lagu Sejati ini juga menafikan andaian sesetengah pihak yang mendakwa dia merajuk sehingga mahu berhenti menghasilkan album.

"Merajuk? Kecewa? Menjelang usia 41 tahun, perkara terbabit bukanlah sesuatu yang mahu saya fikirkan. Tak wujud pun merajuk atau kecewa.

"Kenapa saya mahu fikirkan mengenai rasa yang datang dari sesama manusia? Sebelum ini, saya banyak belajar. Harapan saya hanya kepada Allah dan saya buat apa-apa pun, niat saya hanya kepada Allah," katanya lagi.

Album Rojak yang kini sudah menemui peminat di pasaran menampilkan sembilan lagu termasuklah Ragaman, Bisa Aja, Ratu, Kamu dan banyak lagi.