Hiburan

"Bukan Marissa Seorang Yang Patut Dipersalahkan, Dulu Pun Saya Tak Pernah Salahkan Memey" - Abby Abadi

gempak
Amri Hassan
04/05/2024
05:27 MYT
Sponsor Banner
"Bukan Marissa Seorang Yang Patut Dipersalahkan, Dulu Pun Saya Tak Pernah Salahkan Memey" - Abby Abadi
Pelakon Abby Abadi masih kurang mengerti tindakan netizen yang masih menyalahkan anaknya, Marissa Dania Hakim selepas bergelar isteri kedua Ahmad Aslam, sedangkan ia sepatutnya menjadi tanggungjawab kedua-dua belah pihak.
Abby, 46, mengakui hakikat bahawa anak perempuannya itu telah melakukan khilaf namun ia tidak sepatutnya digalas di bahu anaknya seorang.
"Saya tak rasa hanya dia (Marissa) seorang yang patut dipersalahkan. Kenapa orang hanya menuding jari kepada Marissa seolah-olah Aslam tidak salah langsung. Saya rasa macam pelik sangat. Mereka gelar anak Saya 'penyondol', habis yang lelaki tidak salah ke?
"Pada saya masing-masing ada salah sendiri. Kita sendiri tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga Aslam dan isteri pertamanya, Umisya," katanya kepada Gempak.
Abby ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Wawa Cosmetics menambah, sebagai individu yang pernah melalui pengalaman bercerai satu ketika dahulu gara-gara orang ketiga, dia ketika itu tidak pernah menyalahkan Memey.
"Saya 'throwback' sikit masa saya dengan bekas suami (Norman Hakim) dulu, saya tak pernah menyalahkan Memey sebab tak tahu pun mereka berkawan sampailah satu kejadian yang buatkan saya tahu. Masa tu saya tak salahkan Memey, saya salahkan Norman.
"Tetapi sekarang ini saya nampak orang lebih salahkan pihak perempuan. Sedangkan perkara ini berlaku melibatkan kedua-dua belah pihak. Perempuan dihentam bagaikan tiada hari esok.
"Saya rasa perkara ini tidak adil. Sampai anak saya cakap diri dia seorang 'introvert' pun orang marah. Sedangkan dia memang begitu. Jangan disebabkan satu kesalahan, orang menidakkan perkara yang lain", jelasnya.
Justeru, Abby berharap agar anaknya diberikan peluang untuk menjalani kehidupan normal bersama suami dan madunya.
"Saya tengok masing-masing pun dah bahagia. Umisya dah boleh terima. Aslam lagilah saya tengok macam seronok sangat. Jadi apa salahnya kita doakan yang baik-baik untuk mereka.
"Apa yang saya nampak, mereka cuba untuk mencari jalan damai dalam masa yang singkat. Kerana masing-masing belajar agama. Mereka mahu mengelakkan maksiat dan mencari jalan halal. Aslam juga merupakan seorang anak Ustaz ," ujarnya.
Terdahulu, baru-baru ini tular di media sosial sebuah video yang memaparkan Aslam bertemu dan bersalaman dengan Abby sewaktu menghadiri sebuah majlis sekaligus meleraikan segala kemelut yang melanda keluarga mereka sejak Marissa berkahwin dalam diam di Thailand pada Disember tahun lalu.

BERITA TRENDING: Kongsi Video Mesra Dengan Keluarga, Netizen Tanya: “Macam Mana Nak Ada Hati Baik Macam Kak Abby Ni?”

PILIHAN PEMBACA: Tampil Mohon Maaf, Marissa Dania Akui Khilaf - “Ini Adalah Jalan Yang Saya & Aslam Pilih…”
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024