Nusantara
“Bukan Mudah Hamil Di Usia Muda” – Zara JKT48
Pelakon remaja yang sedang meningkat naik di Indonesia, Zara JKT48 atau Adhisty Zara Sundari mengakui tidak mudah hamil pada usia muda.
Zara yang memegang watak Dara menerusi filem Dua Garis Biru berkata, walaupun dia hanya melakonkan watak remaja berusia 17 tahun sedang hamil, baginya ia tetap sukar.
“Saya rasa janggal dan aneh. Dalam filem ini saya berusia 17 tahun dan bakal menjadi ibu tetapi hakikatnya saya baru berusia 15 tahun.
“Rasa pelik bila tengok perut saya yang buncit. Baru saya tahu mencabar bergelar ibu pada usia muda ini.
“Saya pakai tiga saiz perut yang berbeza. Perut yang saiznya 2 bulan, 5 bulan, dan 7 bulan…Semakin lama semakin berat saya ‘bayi’ yang saya bawa,” katanya kepada Gempak.
Lucunya, Zara JKT48 terbawa-bawa gaya wanita hamil walaupun penggambaran sudah berakhir dan berada di luar set.
“Saya terlupa sampai jalan pun mengangkang macam orang hamil, padahal silikon perut sudah dibuka.
“Tetapi, saya rasa bertuah kerana terpilih untuk merasai pengalaman berharga ini dan barulah saya tahu menjadi ibu itu tak mudah,” katanya.
Selain Zara JKT48, film Dua Garis Biru juga dibintangi oleh Angga Yunanda, Dwi Sasono, Cut Mini dan Lulu Tobing.
Filem sarat mesej ini masih ditayangkan di pawagam dan cepat-cepatlah pergi menonton sebab anda akan ketinggalan terlalu banyak perkara berguna jika terlepas!
Must-Watch Video