Pelakon Fizo Omar melahirkan rasa kecewa terhadap masalah kualiti air di Kelantan yang masih tidak berkesudahan sejak sekian lama.

Fizo menggesa pihak berwajib khususnya kerajaan negeri Kelantan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah bekalan air tercemar itu.

“Tolong lakukan sesuatu kerajaan negeri! Bukan nak merungut tetapi sebagai rakyat saya rasa patut bersuara mengenai kualiti air di Kelantan.

“Masalah ini bukan isu baru pada hari ini tertapi sudah bertahun-tahun.

“Air ialah keperluan harian dan tiada pilihan lain selain daripada air dari paip kerajaan,” katanya.

Fizo meluahkan rasanya itu di akaun Instagram miliknya.

Menerusi hantaran tersebut, dia memuat naik rakaman video yang menunjukkan keadaan air paip di satu bilik air yang sangat kotor.

Tambah Fizo lagi, dia berharap agar suaranya sebagai rakyat negeri tersebut didengari dan pihak berwajib mengambil tindakan segera.

“Kepada mana-mana pihak yang berkaitan, saya mohon maaf sekiranya hantaran ini mencetuskan rasa tidak selesa tetapi inilah hakikatnya.

“Diharap suara saya ini didengari dan pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk kebaikan semua rakyat Kelantan,” katanya lagi.

Kemas kini tersebut mendapat perhatian pengikutnya yang turut berkongsi pengalaman yang sama dan sudah lama bersabar.

“Ya betul tu..isu air di Kelantan ni macam dah lama..kalau balik kg basuh uniform putih,memang habis baju jadi buruk..,” komen salah seorang warga maya.

Difahamkan, Fizo ke Kelantan bagi mengusahakan perkhidmatan sewa motor AVT untuk sukan lasak di sana.

A post shared by fizoomar (@fizoomar)