Pelakon Ezzaty Abdullah memaklumkan dirinya terlibat dalam satu kemalangan kecil apabila kereta yang dipandu melanggar penghadang jalan awal pagi tadi.

Menurut Ezzaty, 30, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi ketika dia bersama pembantu peribadinya pulang daripada sesi penggambaran.

"Allahuakbar, pertama kali kereta kena tunda sebab kemalangan sendiri langgar penghadang jalan. Habis penggambaran pukul 1 pagi dari pukul 9 pagi tadi (semalam). Lepas tu kemalangan pula.

"Alhamdulillah nasib baik saya dan pembantu peribadi tak apa-apa," katanya menerusi satu hantaran di Instagram awal pagi tadi.

Dalam entri tersebut Ezzaty berkongsi rakaman video keretanya yang dibawa menaiki trak penunda.

A post shared by Ezzaty Abdullah (@ezzatyabdullah)


Jelasnya lagi, kemalangan tersebut berlaku bukan disebabkan masalah memandu ketika mengantuk.

"Saya yang pandu, tapi kemalangan bukan sebab mengantuk ya.

"Tak dapat nak elak pembahagi jalan tu sebab nak elak lori dan kereta di belakang," jelasnya.

Katanya lagi, segala urusan kemalangan tersebut selesai sekitar pukul 3.30 pagi.

"Kejap lagi 4 pagi nak bangun mandi untuk pergi kerja. Perjalanan 2 jam juga nak ke Sekinchan. Bukan mudah nak senang, harap semuanya ada hikmah dan hasil," katanya.