Pendakwah selebriti, Ustaz Ebit Lew sememangnya terkenal dengan jiwa luhurnya yang suka membantu orang.

Bukan sekadar berbakti sesama manusia, Ebit juga mengambil berat terhadap nasib haiwan.

Hal ini dapat dilihat daripada perkongsian Ebit di Instagram membantu 300 ekor anjing dan 130 kucing yang hampir kehilangan tempat tinggal.

"Doakan ya, ada seminggu lagi 300 ekor anjing dan 130 kucing tiada tempat tinggal tetap lagi.

"Saya nak sponsor gudang atau belikan tanah untuk semua anjing dan kucing ini, saya tengah cari gudang atau tanah di kawasan Alor Setar," tulis Ebit sebagai kapsyen.

Jelas Ebit, anjing dan kucing itu sebelum ini dijaga oleh individu yang dikenali sebagai Mak Intan namun telah meninggal dunia.

"Mak Intan baru saja meninggal dunia minggu lepas kerana kanser. 30 tahun kutip anjing dan kucing sakit. Ubati dan beri makan dan tempat tinggal.

"Ramai yang hantar pada mereka, kini seminggu Mak Intan dah tiada, anaknya menyambung usaha ibu bapa mereka," tulisnya lagi.

Difahamkan, tanah kawasan peliharaan anjing dan kucing itu akan diambil kembali untuk tujuan pembangunan pada 21 Februari ini.

Ebit berusaha membantu usaha murni keluarga Mak Intan itu dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)