Pelakon Mona Allen akui bukan mudah untuk melakonkan watak komedi.

Menurut Mona, watak komedi memerlukan bakat dan keupayaan seseorang pelakon untuk berlawak jenaka.

"Sebenarnya, saya memang suka berlakon macam-macam watak, tetapi sejak kebelakangan ini, saya agak kerap bawa watak komedi.

"Bagi saya, watak komedi pun bukanlah senang, kalau tak ada bakat untuk melawak, sudah tentu tak akan menjadi.

"Mula-mula saya memang dikenali dengan watak-watak serius, tapi sejak berlakon watak lawak, kebolehan saya dilihat oleh pengarah dan saya mula minat watak komedi," katanya kepada Gempak baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Mona kini membintangi drama bersiri Tanya Sama Pokok arahan Sabri Yunus.

Bercakap mengenai penglibatan dalam drama tersebut, Mona mendedahkan sesi penggambaran drama bersiri itu tidak terlalu bergantung kepada skrip.

"Dalam drama ini, skrip para pelakon kebanyakannya diubah suai mengikut kesesuaian supaya kelihatan lebih asli.

"Bagi saya, kebanyakan pengarah hebat memang akan buat cara ini dan tidak terlalu bergantung kepada skrip yang telah ditulis," katanya lagi.

Selain Mona, Tanya Sama Pokok turut menampilkan barisan pelakon terkenal lain seperti Sabri Yunus sendiri, Datuk Fizz Fairuz, Sara Ali, Angeline Tan dan ramai lagi.

Ia ditayangkan bermula 21 September 2020, setiap Isnin, jam 9.00 malam di Astro Warna (saluran 127) dan Warna HD (saluran 107).

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!