Penyanyi yang juga Peserta Gegar Vaganza 2 (GV2) Nizam Laksamana menafikan dakwaan mengatakan Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang bakal dianjurkan Jun Depan adalah bertujuan untuk perubatan isterinya yang menghidap kanser.

Nizam sebaliknya menegaskan hasil sumbangan daripada acara amal itu disalurkan sepenuhnya kepada pesakit-pesakit kanser yang memerlukan bantuan.

“Saya tegaskan yang acara amal ini tidak sesekali dianjurkan untuk isteri saya.

“Saya jelaskan supaya tak timbul khabar angin atau anggapan bahawa saya mengutip dana dan sumbangan untuk isteri.

"Saya ambil semangat pesakit-pesakit kanser ini dan mengumpul dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Menurut Nizam, dia juga bersyukur kerana kos rawatan isterinya kini turut dibantu beberapa pihak tertentu.

"Untuk kos rawatan dan perubatan isteri, saya juga dibantu oleh pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Selain itu Majlis Kanser Nasional (Makna) juga turut membantu," katanya.

Untuk rekod, Nizam dan Salwati bernikah pada 1995 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata berusia di antara 25 hingga 17 tahun.

Terdahulu, Nizam mendapat tahu isterinya menghidap kanser payudara pada Januari, tahun lalu.

Sekadar info, Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 ini bakal berlangsung pada 4 Jun depan di Bangi Resort Hotel itu.

Menariknya konsert ini akan menggabungkan barisan artis legenda seperti Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Baggio, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmat Mega dan penyanyi bersuara lantang Ramlah Ram.

A post shared by Nizam Laksamana (@nizamlaksamana3011)