Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Sdn Bhd (BPMB), Datuk Seri Nazir Razak melancarkan buku tulisannya yang berjudul What's In A Name pada hari ini.

Menurut Nazir, beliau berbesar hati sempena pelancaran buku pertamanya itu.

Di bawah adalah kenyataan beliau sempena pelancaran buku tersebut seperti yang dipetik dari Astro AWANI.

Saya berbesar hati melancarkan buku pertama saya bertajuk, “What’s in a Name”.

Bermula 8 November, buku ini boleh didapati di kebanyakan kedai buku utama dan mereka yang telah membuat pra-tempahan dalam talian mula menerima salinan masing-masing.

Buku "What’s in a Name” adalah imbasan kembali pengalaman, peristiwa-peristiwa penting yang telah membentuk diri dan kehidupan saya; dan bagaimana saya merasionalkan kesemuanya. Ia merangkumi kisah-kisah keluarga, kerjaya, perniagaan dan politik di Malaysia.

Bapa meninggalkan kami ketika saya berumur 9 tahun, dan penulisan buku ini memberi saya peluang memahami Tun Razak sebagai seorang pemimpin dan individu.

Ia menyedarkan saya bahawa legasi paling utama beliau ialah nilai, prinsip dan kaedah yang beliau terapkan, ianya bersifat peribadi dan tidak nyata pada mata kasar; sedangkan institusi, polisi atau program yang beliau laksanakan mungkin sesuai atau tidak untuk masa yang berbeza.

Beberapa catatan penting yang terkandung dalam buku ini termasuklah kepentingan konteks dalam membuat keputusan dan cara kita memahami tindaklaku orang lain.

Ia juga menyentuh mengenai pilihan-pilihan sukar yang perlu dibuat, bukan sahaja sebagai sebuah negara malah sebagai individu.
Saya mengimbau kembali keresahan saya berkaitan pelbagai peristiwa yang berlaku seperti semasa beberapa tahun pertama kerjaya saya di CIMB yang mencabar, usaha penggabungan perbankan dan krisis 1MDB.

Di akhir buku ini, saya membuat analisa kritikal mengenai pergerakan ekonomi politik Malaysia, mengupas cabaran-cabaran yang melanda negara dan mencadangkan kerjasama yang diperlukan untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

Saya berpandangan yang hala tuju masa depan yang lebih baik mungkin terletak pada masa lalu, dalam bentuk satu platform perundingan baru seperti Majlis Perunding Negara yang ditubuhkan pada 1970.

Saya berbesar hati yang cetakan pertama buku ini telah pun dibaca dan mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia daripada pelbagai generasi dan latar belakang (Nota 1). Versi United Kingdom akan berada di pasaran pada 18 November.

Versi Bahasa Malaysia pula kini di peringkat akhir penterjemahan dan bakal berada dalam pasaran pada tahun depan.


Nazir Razak

Sumber: AWANI

***Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.