Penyanyi dan pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari genap berusia 38 tahun pada 22 Mac lalu.

Tidak merayakan ulang tahunnya seperti sebelum ini, Bunga Citra Lestari atau BCL membuat sebuah usaha yang sangat besar untuk masyarakat terutama kaum wanita.

Artis yang kehilangan suaminya, Almarhum Ashraf Sinclair pada tahun lalu ini mengajak masyarakat untuk membantu golongan wanita yang dianiaya atau menerima gangguan keganasan dan kekesaran daripada para lelaki.

Keinginannya itu dilakukan menerusi kempen Birthday Fundraising BCL Bersama #KawanPuan dengan tagline Dari Perempuan untuk Perempuan yang dikongsikan menerusi akaun Instagramnya, semalam.

"Saya Bunga Citra Lestari. Saya seorang perempuan yang ingin menyokong sesama perempuan," tulis BCL di Instagramnya, Selasa (23/3).

BCL kemudian melanjutkan kenyataannya dengan menulis keadaan kekerasan atau penganiayaan yang berlaku terhadap wanita di masa pandemik COVID 19 sangat menyentuh hatinya. Sedar keadaan ini semakin meruncing, penyanyi ini melakukan kempen bersempena ulang tahun ke 38 nya.

"Bertepatan dengan ulang tahun saya yang ke-38 tahun ini, saya ingin mengajak teman-teman untuk memberikan hadiah. Bukan untuk saya, tapi untuk para perempuan yang tengah berjuang dalam keadaan yang tidak baik dan mereka yang sedang bertatih untuk melangkah lagi," tulis BCL.

Menurut BCL, dia berharap dengan kempen yang dijalankannya, ia mampu sekurangnya mengembalikan senyuman para perempuan dan mengajak mangsa keganasan bangkit.

"Saya mengajak teman-teman semua untuk mengembalikan senyum mereka yang hilang, kerana saya tidak mahu para korban keganasan ini berjuang sendirian.

"Saya ingin melihat sesama perempuan bangkit, kuat. Mari kita bersama membantu para korban keganasan perempuan dalam gerakan #KawanPuan," tulis BCL.

Bersama kenyataannya itu, BCL meninggalkan pautan buat masyarakat yang ingin menyokong kempen berkenaan iaitu di https://kitabisa.com/bclkawanpuan.



Instagram: @bclsinclair