Penyanyi Dr. Soo Wincci sedang menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) keduanya di Sepanyol.

Menurut Wincci, 35, dia memulakan semula pengajiannya selepas dua tahun bertapak di negara Eropah itu.

“Pengajian saya kali ini lebih berkisar kepada soal diversiti dan inovasi. Isu racism sedang hangat diperkatakan, jadi pasukan saya sekarang terdiri daripada pelajar pelbagai negara dan bangsa.

“Saya sedang bertungkus-lumus untuk menyiapkannya kerana agak ketinggalan,” ujar Wincci ketika dihubungi Gempak.



Turut terpalit wabak COVID-19, Wincci yang kini berada di Kuala Lumpur tidak boleh kembali ke Sepanyol untuk urusan pengajian.

“COVID-19 telah menjejaskan kelas-kelas saya. Saya akan kembali ke Sepanyol pada bulan Julai ini untuk menyiapkan tesis kerana terbengkalai gara-gara wabak ini.

“Masuk semester baru nanti saya dan pasukan kena betul-betul kerja keras,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Wincci sudah memperolehi PhD dalam Bidang Pengurusan Perniagaan daripada Open University Malaysia (OUM) pada 2016.

Malah, Wincci mengikuti pengajian dalam bidang muzik di Berklee Music of College, Sepanyol semenjak tahun 2017.