Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Cabar Kredibiliti, Neelofa Muncul Dengan Next To Neelofa

Mya Amri
27/07/2020 14:08 MYT
Mengembangkan lagi bakat yang ada, pelakon dan pengacara Neelofa muncul dengan program bual bicara terbaharu berjudul Next To Neelofa.

Menampilkan tetamu undangan VIP yang terdiri daripada personaliti ternama tanah air dan figura berpengaruh dalam bidang masing-masing, sesi temubual eksklusif yang lebih bersifat up close dan personal menerusi program ini akan mengetengahkan pelbagai perkongsian peribadi yang mungkin tidak pernah dikongsikan.

Ini termasuklah topik yang merangkumi penjagaan diri, kesihatan, kecantikan, kekeluargaan, cinta, fesyen, kerjaya, empayar perniagaan, motivasi, inspirasi dan sebagainya.

Menariknya lagi, Next To Neelofa bakal memperlihatkan kebijaksaan dan kepetahan Neelofa selaku pengacara yang akan mengendalikan program ini secara solo buat pertama kali.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Kamal, pemilihan Neelofa untuk menjayakan program eksklusif ini kerana pengalamannya sebagai seorang anak seni selain merupakan selebriti yang versatil.

“Seperti yang kita tahu, nama Neelofa yang sebelum ini cukup sinonim dengan jenama ‘MeleTOP’ merupakan antara selebriti versatil tanah air yang paling berjaya dan berpengaruh, bukan sahaja dalam bidang perniagaan tetapi juga dalam bidang fesyen yang telah menarik perhatian pelbagai jenama terkemuka di peringkat antarabangsa.

“Sehubungan dengan itu, kami amat berbesar hati dan gembira dengan kesudian dan komitmen yang diberikan oleh Neelofa dalam menjayakan program eksklusif ‘Next To Neelofa’ yang buat julung kali diterbitkan di platform Astro Ria ini.

“Pengalaman Neelofa sebagai anak seni dan latar belakang kehidupan beliau yang penuh warna warni pastinya akan menyuntik pelbagai elemen menarik dalam program ini.

“Selain popularitinya yang mampu menarik tontonan pelbagai lapisan masyarakat, program ini turut menjadi platform untuk mendekatkan lagi golongan VIP berpengaruh tanah air yang sering menjadi ikutan dan rujukan masyarakat di luar sana.

“Secara keseluruhannya, kami positif dan yakin dengan kemampuan Neelofa dalam mengendalikan program bual bicara ini yang diharap dapat meletakkan penanda aras yang tinggi dalam dunia hiburan serta dapat memberikan inspirasi kepada para penonton,” jelasnya.

Next To Neelofa telah pun memulakan siaran episod pertama secara eksklusif minggu lalu dengan tetamu undangan, Datuk Hans Isaac.

Selain Hans, antara barisan VIP yang telah diundang khas untuk menjayakan penerbitan musim pertama termasuklah Datuk Rizalman Ibrahim, Puan Sri Tiara Jacquelina, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Chryseis Tan dan Ella Aminuddin.

Jangan lupa saksikan Next To Neelofa setiap hari Khamis, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria HD (saluran 104) dan Astro Ria (saluran 124).

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, program bual bicara ini turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand.




#Neelofa #Next To Neelofa