Seorang remaja perempuan yang bertindak menanggalkan gelang merah jambu untuk keluar berjalan-jalan menerima padah apabila dikompaun polis sebanyak RM5,000.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat memaklumkan tindakan kompaun dikeluarkan selepas video remaja berusia 17 tahun itu tular di media sosial.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di Kamunting, Taiping.

"Selepas mengenalpasti video itu, polis berjaya mengesan lokasi remaja terbabit yang didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Remaja terbabit menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperolehi.

"Difahamkan ketika kejadian itu, dia dikatakan hanya singgah di rumah rakannya di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kompaun dikenakan kerana remaja itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.



Semalam tular sebuah video TikTok berdurasi 31 saat yang memaparkan seorang remaja yang memakai topi keledar menanggalkan gelang merah jambu di sebuah rumah

Video yang dirakam oleh rakannya itu turut tular di laman Twitter.

Kelakuan remaja tersebut mengundang pelbagai reaksi wargamaya yang rata-ratanya berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Ni minah reja kilang kat Matang. Sana kena PKPD dah. Dia balik Kamunting. Natang beruk. Aku dah la kena selalu keluaq. Bebai aku tengok perangai minah ni,” komen seorang wargamaya.

Jangan ada orang buat derma nak bantu dia bayar 5K tu dah lah, tak kisah lah NGO ke artis ke VVIP ke, biar dia tersidai sikit cari duit nak bayar. Hidup menyusahkan org je, sendiri mati takpe,” luah seorang wargamaya.

Tahniah pada yang rakam dan viral kan. Terima kasih membantu padan muka dia,” kata seorang wargamaya.

Bagus, kan dah kena 5K . Degil sangat kau ni, kalau adik aku ni , aku sebat badan dia guna tali beg tu,” tulis seorang wargamaya.

Buat malu orang Taiping ja,” ujar seorang wargamaya lagi.