Pasca pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada penyanyi Indonesia iaitu Cakra Khan apabila dia mendedahkan terpaksa menjual barangan peribadi termasuk jam tangan mewah.

Menurut Cakra, dia terpaksa berbuat demikian kerana ingin membayar gaji pekerja selain tidak sampai hati untuk memberhentikan kakitangannya pada fasa getir itu.

"Biarpun tidak banyak persembahan seperti sebelum Covid-19 dan kebanyakannya secara virtual, saya cuba tidak memberhentikan pekerja kerana kasihan.

"Bagi tidak mengusik tabungan, saya putuskan menjual beberapa barangan peribadi yang kurang penting seperti jam tangan. Jika ada rezeki, saya masih boleh membelinya lagi.

"Jadi, sepanjang hampir dua tahun itu, saya menampung gaji pekerja melalui jualan barangan peribadi," katanya kepada Gempak.

Ketika ditanya mengenai harga jam tangan yang dijual, Cakra bagaimanapun hanya tertawa tanpa mendedahkan jumlah yang telah diperoleh hasil dari jualan tersebut.

Mengenang kepayahan dilalui, Cakra bersyukur mendapat nasihat ibu bapa agar sentiasa beringat untuk menabung hingga mampu melalui tempoh pandemik.

"Orang tua sering berpesan supaya beringat untuk menyimpan wang atau membeli emas. Alhamdulillah, pesanan orang tua menyelamatkan saya dalam mengharungi fasa pandemik COVID-19," katanya.

Sementara itu, Cakra turut meluahkan rasa teruja dengan konsert sulungnya yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara pada 20 Januari depan.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!