Hiburan
"Calon Dah Ada, Mungkin Tahun Depan Akan..." - Azrel Ismail
Pelakon Azrel Ismail akui sedang menjalinkan percintaan dengan seorang wanita sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Azrel, dia juga berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan.
"Bercakap mengenai sisi peribadi, sebenarnya saya memang dah ada calon, kami baru sahaja mengenali antara satu sama lain sejak beberapa bulan lalu.
"Mungkin tahun hadapan saya akan menamatkan zaman bujang, tetapi buat masa ini, saya harus merancang banyak perkara dengan sebaiknya," ujarnya.
Azrel berkata demikian ketika ditemui selepas pertunjukan Wanpa x Temujanji di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW2019) bertempat di Pavilion Bukit Bintang pada Sabtu.
Sementara itu, Azrel juga merasakan dia telah mencapai fasa umur yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.
"Usia saya sekarang (35 tahun) adalah fasa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.
"Sekarang saya masih memilih untuk tidak mendedahkan perancangan saya kepada umum, semoga semua rancangan saya berjalan dengan lancar selepas ini," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Azrel kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk beberapa drama dan telefilem tempatan sehingga hujung tahun 2019.
Sedikit info mengenai Azrel, pelakon kelahiran Perak ini mulai aktif di industri hiburan tempatan pada tahun 2011 dan berjaya mengekalkan popularitinya sehingga kini.